SelangorToday

IZHAM NAFI SELANGOR GAGAL URUS MASALAH BANJIR, UMUM PERANCANGAN HADAPI GELOMBANG KEDUA

Exco Kemudahan Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim pada selasa telah menjawab beberapa isu yang berbangkit kesan daripada kejadian banjir yang melanda Taman Sri Muda pada sabtu lalu. Isu yang dijelaskan oleh Ir. Izham termasuklah dakwaan kelewatan pintu air pasang surut lewat dibuka menyebabkan banjir kembali berlaku di Taman Sri Muda. Menjelaskan perkara tersebut, beliau berkata dakwaan mengatakan pintu air pasang surut lewat dibuka sehingga menyebabkan banjir adalah tidak benar sama sekali. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor telah melaksanakan operasi tebatan banjir melibatkan pengoperasian pintu air pasang surut dan sistem pam mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan. Beliau menjelaskan pintu air pasang surut dioperasikan dalam keadaan ‘tutup’ semasa curahan hujan berikutan paras air Sungai Rasau melebihi paras air saliran parit utama Taman Sri Muda.

Keadaan hujat lebat di Taman Seri Muda baru-baru ini

Selain tu, Pengerusi AMANAH Selangor itu juga membidas tohmahan yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin muda daripada UMNO Shah Alam yang berasa khuatir akan kelemahan kerajaan negeri menguruskan banjir di Selangor. Ir. Izham menyatakan sebanyak RM46.5 juta diperuntuk sebagai langkah segera mengatasi masalah banjir di Taman Sri Muda. Sejumlah RM11.5 juta digunakan untuk menaik taraf dan meninggikan ban bagi menghalang limpahan air, pembelian pam, genset dan siren. Manakala sebanyak RM15 juta diperuntuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor untuk membina kolam takungan dan bakinya bagi menaik taraf parit dan pam. Oleh itu, kerajaan negeri telah bersedia dengan perancangan dan peruntukan kewangan untuk menghadapi keadaan menyulitkan jika banjir berlaku lagi.

Bagi langkah pencegahan, Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor itu juga berkata, Kerajaan Negeri berhasrat memanfaatkan 98 kolam dan tasik di seluruh Selangor dengan membuat sistem penyambungan bagi mengawal air banjir. Tambah beliau setakat ini pihaknya melalui Lembaga Air Urus Selangor (LUAS) telah meluluskan 21 kolam buat peringkat awal bagi kerja penyambungan ke sistem rangkaian. Jika hujan lebat akan datang, kolam itu akan menampung air hujan dari mengalir ke sungai dan kalau kita perlukan ketika kemarau ia boleh digunakan. – Selangor Today

Exit mobile version