SHAH ALAM, 7 Sept – Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Ir. Izham Hashim menegaskan bahawa parti perlu melangkah ke medan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dengan kesatuan yang padu, persiapan yang rapi serta semangat perjuangan yang membara.
Berucap dalam Konvensyen AMANAH Selangor 2025 di Shah Alam pagi tadi, beliau mengingatkan bahawa kemenangan tidak akan berpihak kepada mereka yang hanya pandai beretorik, sebaliknya kepada pihak yang benar-benar ikhlas dan bersungguh membela rakyat.

“Kita tidak boleh masuk medan PRU16 ini dengan langkah yang longgar. Kita mesti masuk dengan tekad yang bulat, perpaduan yang utuh dan persiapan yang mantap serta semangat yang membara,” katanya.
Izham menegaskan, pentadbiran Selangor yang berjaya di bawah Kerajaan Perpaduan serta agenda Gagasan Madani perlu ditonjolkan dengan lebih meluas agar rakyat sedar siapa sebenarnya kerajaan yang berintegriti.
Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan tentang pengalaman pahit 33 bulan ketika negara diperintah oleh apa yang beliau gelar sebagai “kerajaan tebuk atap”. Menurutnya, kegagalan pentadbiran itu mesti terus didedahkan kepada rakyat supaya episod sama tidak berulang dalam sejarah politik negara.
“PRU16 bukan sekadar perhitungan kerusi, tetapi perhitungan maruah dan masa depan negara,” tegasnya.
Izham juga menekankan bahawa AMANAH mesti lebih awal mengenal pasti isu-isu yang dekat di hati rakyat, agar langkah penyelesaian dapat diambil dengan pantas dan tuntas. Katanya, keresahan rakyat tidak boleh dijawab dengan retorik kosong, sebaliknya perlu dijawab dengan tindakan yang nyata.
Beliau menutup ucapan dengan menyeru seluruh jentera parti agar memasuki gelanggang PRU16 dengan penuh keyakinan, doa dan persediaan yang matang bagi memastikan kejayaan berpihak kepada kebenaran.