SelangorToday

Jaga Perlis pun gagal, macam mana nak tadbir negara? Abbas tempelak PN

SHAH ALAM: Perikatan Nasional didakwa gagal mentadbir Negeri Perlis apabila tercetus konflik politik dalaman yang serius sehingga beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar, YAB Shukri Ramli.

Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor, YB Abbas Azmi berkata, krisis tersebut jelas membuktikan kegagalan Perikatan Nasional mengurus kestabilan politik negeri walaupun Perlis hanya mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dikuasai hampir sepenuhnya oleh gabungan itu.

Menurutnya, tindakan PAS melucutkan keahlian beberapa ADUN susulan penarikan sokongan kepada Menteri Besar menunjukkan masalah kepimpinan dan pengurusan dalaman yang serius dalam kerajaan negeri.

“Perlis merupakan sebuah negeri kecil dengan sumber pendapatan terhad dan amat memerlukan sokongan kerajaan Persekutuan. Namun kegagalan pemimpin Perikatan Nasional mengurus perihal politik negeri telah mengakibatkan keadaan kacau-bilau yang akhirnya merugikan negeri dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Abbas menegaskan, amat mendukacitakan apabila amanah rakyat Perlis yang memilih Perikatan Nasional sebagai kerajaan negeri gagal dijaga dengan baik, walaupun gabungan itu memiliki 14 daripada 15 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan hanya diwakili seorang ADUN.

Sebagai perbandingan, beliau berkata Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir melalui Kerajaan Perpaduan melibatkan Pakatan Harapan dan UMNO-BN berjaya mengekalkan kestabilan politik serta memacu pelbagai kejayaan demi kepentingan rakyat.

“Walaupun Selangor ditadbir oleh gabungan pelbagai parti dengan latar belakang berbeza, semangat permuafakatan dan rasa tanggungjawab terhadap amanah rakyat menjadi asas kepada kestabilan dan kecemerlangan pentadbiran negeri,” katanya.

Sebaliknya, tegas Abbas, Perikatan Nasional di Perlis gagal menstabilkan politik negeri walaupun hanya melibatkan satu blok kerajaan, dan kegagalan itu pasti memberi kesan langsung kepada pentadbiran serta kehidupan rakyat.

“Rakyat perlu menilai semula kemampuan sebenar Perikatan Nasional dalam menjaga amanah. Apa yang berlaku di Perlis adalah bukti jelas kegagalan Perikatan Nasional sebagai pentadbir negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Abbas menyeru rakyat agar mengambil iktibar daripada krisis politik di Perlis, tanpa mengira apa jua keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ketetapan yang akan dibuat oleh Raja Perlis.

“Persoalannya, bolehkah rakyat mengharapkan Perikatan Nasional untuk menjaga negara, sedangkan sebuah negeri kecil seperti Perlis pun gagal mereka uruskan dengan baik?” katanya.

Exit mobile version