Site icon SelangorToday

Jalan Pantai Bersih: Jangan Politikkan Warisan Budaya, Tumpu isu Rakyat

FB_IMG_1768713666538

PULAU PINANG: Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan bahawa keutamaan rakyat serta prinsip tadbir urus budaya yang telus dan inklusif perlu didahulukan dalam sebarang cadangan melibatkan ruang awam dan identiti komuniti.

Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan AMANAH dalam satu kenyataan media mengambil maklum cadangan Ahli Parlimen Bagan, YB Lim Guan Eng berhubung pemulihan nama Dragon Temple Lane di sebahagian Jalan Pantai Bersih, Pulau Pinang.

Menurut kenyataan itu, sebagai sebuah parti yang menjunjung nilai kemajmukan dan keharmonian budaya, AMANAH menegaskan bahawa warisan budaya wajar dipelihara secara beretika serta melalui proses tadbir urus yang inklusif dan selari dengan aspirasi rakyat setempat.

Bagaimanapun, AMANAH berpandangan bahawa sebarang cadangan melibatkan ruang awam dan identiti komuniti perlu didahului dengan libat urus menyeluruh bersama penduduk setempat, disokong oleh kajian sejarah yang sahih, serta mengambil kira implikasi sosial dan pentadbiran.

“Dalam situasi semasa ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, isu perumahan, pekerjaan dan kesejahteraan sosial, kepimpinan wajar memberi keutamaan kepada penyelesaian yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, bukannya polemik simbolik yang berpotensi mengundang salah faham atau ketegangan yang tidak perlu,” menurut kenyataan itu.

AMANAH turut menegaskan bahawa warisan budaya adalah milik bersama rakyat dan tidak wajar dipolitikkan, selain menekankan bahawa sebarang pemulihan atau penamaan semula hendaklah berasaskan konsensus komuniti setempat.
Selain itu, keharmonian sosial serta perpaduan nasional perlu menjadi pertimbangan utama dalam setiap keputusan awam yang melibatkan kepentingan masyarakat majmuk.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim, yang menegaskan komitmen parti tersebut untuk terus mendokong usaha pemeliharaan warisan budaya negara secara adil, inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat selari dengan semangat Malaysia Madani.

Exit mobile version