 
                SHAH ALAM – Selangor melakar sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan pelan strategik menyeluruh untuk pembangunan jalan raya dan lebuh raya melalui inisiatif JALUR Selangor 2035.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, dokumen strategik ini akan menjadi rujukan utama kerajaan negeri dalam merancang, melaksana dan memantau pembangunan rangkaian jalan raya sehingga tahun 2035.

“Fungsi utama JALUR Selangor 2035 adalah memastikan perancangan infrastruktur jalan raya diselaraskan dengan agenda pembangunan ekonomi, spatial dan sosial negeri. Dengan pendekatan makro ini, Selangor dapat mengurangkan kesesakan, meningkatkan keselamatan jalan, menyokong pertumbuhan ekonomi serta mengintegrasikan rangkaian jalan dengan sistem pengangkutan awam,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pembentangan Terma Rujukan (TOR) JALUR Selangor 2035 yang turut disertai Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta pihak konsultan.

Kajian tersebut turut membangunkan model trafik komprehensif bagi menilai keperluan semasa dan masa depan serta mengenal pasti peluang projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Laporan akhir dijangka siap Disember 2025 dan bakal menjadi dokumen panduan penting kepada kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan jalan raya yang lebih teratur, efisien dan lestari.
“Saya yakin JALUR Selangor 2035 akan memberi impak besar kepada pembangunan negeri dan kualiti hidup rakyat Selangor,” ujar Ir. Izham.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            