Hari ini Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan senarai portfolio yang bakal dipimpin oleh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baru. Sidang media yang diadakan tersebut menjadi tumpuan orang awam apabila hampir 6 daripada 10 orang barisan Exco merupakan muka baru dalam pentadbiran Kerajaan Negeri. Menteri Besar sendiri mengetuai portfolio Pembangunan Tanah, Kewangan dan Ekonomi, Pemodenan Pentadbiran, Komunikasi Strategik dan Pendidikan serta Pembangunan Modal Insan Selangor.
Selain Amirudin, Ir. Izham Hashim dan Borhan Aman Shah kekal memegang portfolio sebelum ini iaitu masing-masing Infrastruktur dan Pertanian serta dengan tambahan sektor Perumahan bagi Borhan selain kekal memimpin portfolio Kebudayaan. Wakil BN dalam barisan Exco ini pula, Rizam Ismail akan mengetuai portfolio Kemajuan Desa dan Perpaduan. Dua wakil rakyat wanita dalam barisan Exco Selangor iaitu Jamaliah Jamaludin akan memegang portfolio Kesihatan dan Alam Sekitar. Manakala Anfaal Saari pula akan memegang portfolio Wanita dan Kebajikan Masyarakat. Untuk rekod Jamaliah yang juga ADN Bandar Utama adalah Penolong Setiausaha DAP manakala Anfaal selaku ADN Taman Templer adalah Naib Ketua AWAN Nasional.
Bekas Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim dilantiks sebagai Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan. Ng Sze Han yang sebelum ini memikul tanggungjawab selaku Exco Kerajaan Tempatan ditukarkan ke portfolio Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti. Papparaidu A/L Veraman satu-satunya exco dari kaum India diberi kepercayaan menjaga bidang Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan. ADN Kota Anggerik pula akan memimpin portfolio Belia,Sukan dan Keusahawanan selain Dr. Fahmi Ngah, ADN Seri Setia sebagai Exco Agama Islam dan pemberdayaan Inovasi. – Selangor Today