SelangorToday

JAMALIAH SERU PENERIMA PROGRAM ILTIZAM SELANGOR SIHAT KEMASKINI STATUS, ELAK TERCICIR

Kerajaan Negeri sedang mengemas kini status penerima program Iltizam Selangor Sihat (ISS) bagi memastikan hanya individu yang layak menerima perlindungan kesihatan itu.

Exco Kesihatan Awam Selangor,  Jamaliah Jamaluddin berkata proses berkenaan melibatkan dua kategori iaitu ahli dengan tempoh polisi melebihi dua tahun atau kurang sehingga 20 Disember tahun lalu.

Bagi pemegang polisi melebihi tempoh, beliau menjelaskan ahli boleh membuat permohonan baharu mulai 1 Februari sekiranya layak dan memenuhi syarat ditetapkan dalam program itu.

“Bagi ahli yang tempoh polisinya kurang dua tahun, mereka perlu segera mengemas kini maklumat peribadi untuk mengekalkan keahlian ISS, seterusnya mengelak sebarang kesulitan,” katanya.

Bercakap dalam sidang media di sini semalam, Jamaliah menambah proses itu dapat membantu pentadbiran negeri mengekalkan integriti dan keberkesanan ISS kepada golongan memerlukan.

Katanya lagi, kemas kini maklumat peribadi boleh dilakukan secara manual di pusat khidmat masyarakat (PKM) atau menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Semua proses pendaftaran dan kelulusan ahli baharu akan ditangguh buat sementara waktu sehingga 31 Januari bagi membolehkan agensi pelaksana menjalankan kemas kini maklumat,” jelasnya.

Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM35 juta bagi kesinambungan program ISS yang membantu pemegang polisi mendapat rawatan segera di klinik swasta.

Setiap pemegang polisi layak mendapat rawatan asas dan suntikan RM500 setahun bagi kategori keluarga, manakala individu pula RM250 setahun di mana-mana klinik panel seluruh negeri. -SelangorKini

Exit mobile version