“Pensyarah berkualiti rendah tidak perlu dibawa masuk sebagai pensyarah pelawat pada mulanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pihak universiti seharusnya tidak mengundang pensyarah berkualiti rendah sebagai pensyarah pelawat.
“Menteri Pendidikan Tinggi sudah menjawab (isu ini),” katanya kepada media selepas Upacara Pecah Tanah Pusat Simulasi Penerbangan MAB Academy di MAB Academy di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Perdana Menteri mengulas kenyataan kontroversi dibuat seorang profesor dipercayai pro-Israel, , Dr Bruce Gilley, ketika tampil sebagai penceramah jemputan Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.
Pada 9 April lalu, Institut Pengajian Cina UM mengeluarkan jemputan terbuka untuk seminar yang bertajuk “Reassessing Republican China” yang menampilkan Gilley pada 25 April 2024.
Pada 16 April lalu, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik mengumumkan program Visiting Professor Program 2024 (Program Profesor Pelawat 2024) di mana Gilley dijemput untuk menyampaikan syarahan dan mengendalikan bengkel selama tiga hari mulai 22 sehingga 24 April lalu.
Pada hari kedua iaitu 23 April, ketika menyampaikan syarahan yang bertajuk “Will Malaysia Become an Active Middle Power?” Bruce mengeluarkan kenyataan berbunyi “A country whose political leaders advocate a second Holocaust against the Jewish people will never be a serious player in world affairs, and will certainly never be a friend or partner of the United States” ketika memberi syarahan.
Kenyataan itu kemudian dikongsikan semula menerusi ciapan di laman X milik peribadinya, yang menarik perhatian masyarakat Malaysia terutamanya mahasiswa UM.
Sumber: Berita Harian Online