SelangorToday

JANGAN CEMARKAN SAMBUTAN HARI MALAYSIA DENGAN DEMONSTRASI – PH SABAH

Rancangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan demonstrasi ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ pada Sabtu ini hanya menjejaskan sambutan Hari Malaysia yang sepatutnya disambut dengan penuh keharmonian. Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sabah, Mustapha Sakmud, berkata sambutan Hari Malaysia tidak sepatutnya dicemari dengan demonstrasi atau himpunan yang bertentangan dengan nilai sejarah pembentukan negara ini.

Katanya, sambutan Hari Malaysia ke-60 pada tahun ini amat bermakna dan sepatutnya dijadikan wadah untuk mendidik generasi muda mengenai sejarah dan intipati pembentukan Malaysia serta bagaimana merencana agenda masa depan negara.

“Mengajak generasi muda untuk turun berdemonstrasi pada sambutan Hari Malaysia bukan saja tidak menghormati perayaan nasional ini tetapi memberi isyarat yang tidak baik kepada generasi muda negara ini.

“Diharap generasi muda yang sayang kepada negara ini dan berfikiran rasional tidak terjebak dengan seruan untuk menyertai demonstrasi itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani sedang berusaha untuk memastikan generasi muda negara ini dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

Katanya, pelbagai usaha dilaksanakan termasuk menyediakan akses pendidikan yang berkualiti, peluang pekerjaan baharu, gaji yang progresif dan jaringan perlindungan yang komprehensif.

“Marilah kita bersama-sama meraikan sambutan Ulang Tahun Hari Malaysia ke-60 dengan tekad dan semangat baharu bagi memastikan negara ini terus diperkasakan dan menjadi antara peneraju ekonomi di rantau ini.

“Generasi muda perlu mencorakkan masa depan negara ini dengan teras keharmonian dan perpaduan yang dihasratkan oleh generasi terdahulu,” katanya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, sebagai generasi pelapis negara, anak muda di seluruh negara perlu sama-sama menyemarakkan sambutan Hari Malaysia bukan saja pada tahun ini, malah setiap tahun.

Beliau berkata, apa yang lebih penting hari bersejarah negara itu disambut dalam suasana yang harmoni dengan prinsip kepelbagaian dalam kesatuan pada setiap tahun.

Exit mobile version