SelangorToday

JANGAN JADIKAN MINGGU SOLIDARITI PALESTIN MAINAN POLITIK- HJ SHAMSUL MA’ARIF

Naib Pengerusi AMANAH Selangor, Hj Shamsul Ma`arif Ismail membidas sesetengah pihak yang cuba menjadikan isu Minggu Solidariti Palestin dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai permainan politik masing-masing. Beliau berkata, janganlah ada pihak yang cuba untuk memanipulasikan program tersebut dan menimbulkan sikap meremehkan mahupun menyukarkan pelaksanaanya. Hj Shamsul mengeluar satu kenyataan selaku Pengerusi Biro Perubahan Masyarakat AMANAH Selangor menambah, AMANAH Selangor menyokong penuh Minggu Solidariti Palestin melibatkan institusi pendidikan di Malaysia mulai 29 Oktober hingga 3 November 2023.  

AMANAH Selangor percaya, pelaksanaan minggu solidariti tersebut bertujuan untuk mendidik murid-murid nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan. Lebih utama lagi, pelaksanaan program tersebut bukanlah untuk meraih kepentingan politik, sebaliknya memperlihatkan kebersamaan Malaysia dengan rakyat Palestin. Oleh itu, Hj Shamsul berharap agar jangan menggunakan pelbagai kesilapan teknikal dalam proses pelaksanaan minggu solidariti ini sebagai modal serangan politik pihak tertentu. Jangan sesekali mendapat keuntungan diatas tangisan dan pengorbanan rakyat Palestin.

Sebelum ini beberapa pemimpin politik di Malaysia saling serang-menyerang antara satu sama lain baik pihak pembangkang atau kerajaan setelah beberapa isu kontroversi melibatkan pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin di insitusi pendidikan. Isu tersebut menjadi bahan pemimpin politik sehingga dilihat sebagai alat meraih keuntungan politik. Maka Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek ketika menggulung perbahasan Belanjawan Madani 2024 di Dewan Rakyat minggu lalu memohon agar jangan diganggu guru dan institusi pendidikan dibawah KPM demi manfaat politik masing-masing. – SelangorToday

Exit mobile version