SelangorToday

Jangan Manipulasi Sentimen Dalam Kes Zara Qairina – Sany

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Sany Hamzan hari ini menzahirkan penghargaan kepada Menteri Dalam Negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas keberanian dan integriti dalam mengendalikan siasatan berhubung kematian tragis adik Zara Qairina.

Berucap di Dewan Rakyat pagi tadi, beliau menegaskan bahawa rakyat perlu memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka secara telus dan profesional.

“Syabas dan tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, pasukan polis, pasukan perubatan serta Pejabat Peguam Negara kerana telah mengambil langkah yang sewajarnya. Kertas siasatan juga telah diangkat sebagaimana dimaklumkan oleh Menteri,” ujar Sany.

Menurut beliau, isu kematian pelajar tersebut bukan sekadar tragedi peribadi, tetapi menyentuh seluruh masyarakat dan menuntut keadilan tanpa mengira negeri atau latar belakang.

“Kalau kes berlaku di Kelantan, Sabah, atau Sarawak sekali pun, kita mahu polis segera masuk untuk siasat. Kita perlukan keadilan. Yang membimbangkan ialah apabila timbul pembohongan, fitnah dan sentimen perkauman yang cuba dimanipulasi,” tegasnya.

Sany turut menekankan bahawa siasatan masih berjalan termasuk kemungkinan inkuiri (inquest) bagi menentukan sama ada Zara terjatuh atau terjun sendiri. Justeru, beliau menyeru semua pihak agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan.

Beliau memberi peringatan bahawa rakyat tidak boleh mengambil alih peranan pihak berkuasa.

“Kalau kita sendiri yang nak jadi polis, doktor, peguam dan hakim, baik tutup sahaja Parlimen ini. Kita kena hormati proses siasatan. Desakan supaya siasatan berlaku secara adil dan berintegriti itu wajar, tetapi jangan sampai kita mainkan isu perkauman atau politik kepartian,” katanya.

Mengulas isu bendera terbalik yang turut dibangkitkan, Sany menegaskan ia tidak wajar dijadikan polemik yang melampau.

“Kita semua sayangkan negara ini. Kalau ada kesilapan, tegurlah dengan baik, berhemah dan penuh kasih kepada Malaysia,” ujarnya.

Sany sekali lagi mengulangi keyakinan bahawa Kementerian Dalam Negeri dan PDRM akan memastikan siasatan dijalankan dengan penuh amanah dan integriti demi mendapatkan keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina serta keluarganya.

Exit mobile version