SelangorToday

JAWATANKUASA PEMANTAUAN CERUN DITUBUHKAN UNTUK SELARAS DAN RANCANG ISU CERUN

Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan satu Jawatankuasa Pemantau Cerun Negeri yang ditugaskan untuk menyelaras dan merancang pelaksanaan strategi dan tindakan bersepadu dalam mengurus cerun di seluruh negeri. Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, jawatankuasa ini juga turut berbincang dan berkongsi pengalaman pengurusan cerun yang pernah dilakukan di peringkat persekutuan melalui pihak Jabatan Kerja Raya(JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains(JMG) yang mempunyai pengalaman dan kepakaran.

Izham yang juga Pengerusi AMANAH Selangor menjelaskan demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Dewan Negeri Selangor oleh Ahli Dewan Negeri(ADN) Teratai, Yew Jia Haur. Tambah beliau, terdapat dua kaedah yang digunakan dalam pengurusan cerun. Hal ini termasuk kaedah ‘Linear Base’ yang dikelolakan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia dan JKR Negeri Selangor bagi tindakan penyediaan pelan bahaya dan risiko bagi jalan-jalan negeri. Manakala melalui kaedah ‘Area Base’ yang merangkumi kawasan-kawasan pembangunan tanah tinggi dikelolakan oleh JMG yang mempunyai Peta Bahaya dan Risiko Cerun. Melalui Jawatankuasa yang ditubuhkan ini, Izham berkata ia akan membantu kerajaan negeri mengenalpasti lebih awal masalah kecerunan dan meminimakan impak masalah cerun jika berlaku.

Sementara itu, ketika menjawab soalan berkaitan longkang tidak bertuan, Izham yang juga ADN Pandan Indah memaklumkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri(MKKN) telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM 5 juta bagi menyelenggara parit, longkang da jalan tidak bertuan secara one-off sebelum musim monsun 2024 tiba. Beliau menambah, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk menyelaraskan kerja- kerja penyelenggaraan jalan, parit dan longkang di Selangor. – SelangorToday

Exit mobile version