Jelajah Selangor Penyayang yang berlangsung di seluruh Selangor menemui siri seterusnya di Gombak Ahad lalu. Bertemakan Jelajah Selangor Penyayang : Pendidikan Holistik, Generasi Muda Dinamik itu diadakan di Padang Awam, Batu Caves yang meliputi DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang serta Parlimen Selayang. Acara yang diadakan secara besar-besaran di kubu kuat Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PH Selangor itu menurunkan semua agensi-agensi dibawah kerajaan negeri untuk memberikan pendedahan kepada rakyat.
Menemui acara kemuncak di pentas utama, Amirudin Shari telah menyerahkan Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2022 berjumlah lebih RM1.83 juta kepada 10 buah sekolah di Daerah Gombak. Antara sekolah yang menerima sumbangan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina San Yuk dan Kheow Bin serta SJK Tamil Batu Caves dan Taman Melawati. Selain itu, sebanyak 8 inisiatif dalam kluster pendidikan telah diumumkan.
Dalam jelajah kali ini juga, kerajaan Pakatan Harapan Selangor mengembalikan semula Pusat Tuisyen Rakyat dengan penjenamaan baharu. Kedua, memberikan insentif RM1,000 kepada rakyat Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT. Seterusnya, kerajaan negeri turut membantu sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan kewangan termasuk taska di Selangor. Melalui Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor dan Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) ia dapat membantu institusi pendidikan di Selangor. Seterusnya kerajaan negeri terus membantu mahasiswa yang berada dalam keadaan sukar dengan skim Peduli Siswa dan Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (SEPINTAS). Akhirnya latihan kemahiran mengikut keperluan industri juga diwujudkan di Selangor serta Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (ASUH PINTAR) untuk keluarga yang memerlukan. – Selangor Today