Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal sudah memulakan gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) sejak awal penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Penyandang kerusi DUN Sungai Ramal Mazwan Johar berkata selaras dengan konsep perpaduan, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan jentera Barisan Nasional (BN) bahagian Bangi untuk menyantuni penduduk.
“Disebabkan sekarang adalah konsep perpaduan jadi kita di sini kerjasama dengan BN sejak dari awal dan perkembangan gerak kerja sangat baik demi mempertahankan kawasan ini.
“Hasilnya, DUN Sungai Ramal dipilih untuk satu program besar iaitu Jelajah Perpaduan Madani dan Karnival Perpaduan Madani yang akan berlangsung esok,” katanya ketika dihubungi.
Pada pilihan raya umum ke-14 Mazwan memenangi kerusi DUN Sungai Ramal meraih 24,591 undi dengan majoriti 10,630 undi mengalahkan calon PAS Nushi Mahfodz dan calon BN Abdul Rahim Mohd Amin.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan berlangsung serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.
Selain itu, tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri berkenaan pula ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.