Satu ketika dahulu Malaysia pernah dianggap sebagai negara berasaskan pertanian. Malah melalui tanah-tanah terbiar yang luas ketika era pasca merdeka, program pertanian dijadikan asas untuk memajukan tanah tersebut seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara. Setelah Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain beralih kepada sektor perindustrian awal 80an, pertanian mula dikesampingkan. Sehingga kini Malaysia telah mempunyai 19 orang menteri yang mengemudi kementerian pertanian.
Namun perhatian boleh menjurus kepada seorang tokoh politik veteran yang pernah menerajui kementerian pertanian dan merupakan menteri paling lama berkhidmat di kementerian tersebut. Beliau adalah Allahyarham Sanusi Junid. Sanusi dilantik sebagai Menteri Pertanian pada tahun 1986 sehingga 1995. Sebelum itu beliau menerajui Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Manakala selepas 9 tahun di Kementerian Pertanian, beliau diamanahkan mengemudi Kerajaan Negeri Kedah sebagai Menteri Besar.
Sanusi antara tokoh politik yang sedang meningkat naik ketika memimpin Kementerian Pertanian selain Anwar Ibrahim, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak dan Wan Ahmad Mokhtar. Figura ini pernah dikatakan antara pengganti Tun Mahathir Mohamad selepas Perdana Menteri itu bersara dalam politik. Ini kerana Sanusi merupakan orang kanan Tun Mahathir selaku Setiausaha Agung UMNO,UMNO Baru pada tahun 1986 serta Naib Presiden UMNO tahun 1990.
Nama Sanusi berada dipuncak sejak UMNO Baru ditubuhkan, tetapi nama beliau sering diingati dan kekal dalam amatan rakyat Malaysia kerana idea kreatif yang beliau bawa ketika menguruskan perihal pertanian negara. Boleh dikatakan Sanusi merupakan antara menteri pertanian yang kreatif dan punyai idea yang diluar jangka.
Mana tidaknya, ketika negara sedang mengalami kejatuhan harga kelapa dengan mendadak, semua sedang menunggu apakah solusi yang bakal diambil oleh bekas Ahli Parlimen Jerlun-Langkawi itu. Sebaliknya cadangan beliau mengejutkan ramai pihak. Beliau mencadangkan rakyat Malaysia menjadikan air kelapa muda sebagai minuman serta menggunakan isi kelapa muda sebagai bahan dalam penyediaan makanan.
Ketika itu budaya meminum air kelapa masih rendah dikalangan rakyat Malaysia. Ia bukan satu kebiasaan ketika itu berbanding hari ini, air kelapa muda telah menjadi minuman rutin waktu percutian mahupun dikampung. Sedangkan kebiasaan itu bermula dengan idea kreatif Sanusi yang mencadangkan penggunaan kelapa sebagai minuman dan makanan rakyat. Kesannya keperluan kelapa meningkat, kejatuhan harga kelapa dapat diatasi.
Kedua, Sanusi mencetuskan idea penggunaan tayar buruk untuk dijadikan tukun sebagai tempat pembiakan ikan dilaut. Meskipun cadangan ini luar biasa, tetapi ia benar-benar memberi impak yang sangat berguna. Dengan kos yang minima, pembiakan ikan dapat dijana semaksimum mungkin.
Malaysia pernah mempunyai menteri yang kreatif dalam merungkai perihal pertanian negara. Sanusi yang telah pergi 9 Mac 2018 akan dikenang sebagai menteri yang punya pengetahuan yang luas dan berjaya menjadikan Kementerian Pertanian sebagai kementerian tumpuan awam.
Berbeza dengan keadaan hari ini, sektor pertanian bukan lagi menjadi sektor yang dikesampingkan, sebaliknya jika diamati dengan terperinci, sektor pertanian menjadi penentu kepada tahap keterjaminan makanan negara untuk rakyat. Tumpuan telah berubah daripada memperkasakan budaya pertanian, kepada mencukupkan hasil pertanian sebagai asas makanan negara.
Demikian itu, tokoh politik yang begitu lama bernuansa sebagai pembangkang, malah menjadi figura yang pernah memimpin pemuda pembangkang ketika Sanusi mengemudi Kementerian Pertanian, kini pula duduk di kerusi yang sama pernah diduki oleh Sanusi. Beliau adalah Mohamad bin Sabu.
Mohamad Sabu begitu lama di Dewan Rakyat sebagai pembangkang, dari Nilam Puri dan Kuala Kedah. Seketika di Kota Raja. Namun pada tahun 2018, beliau diamanahkan sebagai Menteri Pertahanan atas kapasitinya sebagai Presiden Parti AMANAH Negara, parti komponen dalam Pakatan Harapan yang berjaya menumbangkan Barisan Nasional. Sebaliknya, apabila kerajaan perpaduan ditubuhkan, Mohamad diamanahkan sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan(KPKM).
Karisma Mohamad bersinar sejak zaman pemuda dahulu. Tokoh yang lantang menyuarakan pandangan rakyat serta menjadi pemimpin kebangkitan rakyat untuk bersuara itu lebih popular berbanding menteri BN ketika itu. Justeru, kedudukan beliau sebagai menteri KPKM menjadi perhatian umum termasuk kebolehannya mentadbir sebuah kementerian. Jika dulu beliau digelar pembangkang lantang, kini rakyat mahu melihat sejauh mana beliau mampu menjadi sebahagian pemerintah Malaysia.
Tidak menunggu lama, Mohamad menyerlahkan kepimpinannya yang berwawasan kepada sektor pertanian. Beliau melihat ruji makanan harian rakyat Malaysia sejak bertahun lama masih bergantung kepada negara luar. Oleh itu beliau menggagaskan ‘gelombang padi’ sebagai daya usaha beliau dan anggota kementerian untuk menamatkan kebergantungan padi negara kepada padi import.
Komitmen beliau sangat jelas untuk menjadikan beberapa negara yang bukan sinonim dengan jelapang padi untuk memulakan langkah padi termasuk Johor dan Pahang. Melalui kejayaan SMART SBB ala Sekinchan di Selangor, kaedah itu dirintiskan ke semua negeri yang disasarkan termasuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Sarawak.
Wawasan beliau difahami dan dihayati oleh semua, bahawa Malaysia perlu meningkatkan penghasilan padinya demi memastikan negara tidak lagi meletakkan periuk nasi rakyat di tangan pengimport. Beliau juga memberikan peruntukan yang besar demi memperbaiki sistem pengairan padi bagi memastikan penghasilan padi dapat dijana secara optimum.
Selain itu, sektor ternakan diperkukuhkan dengan pelbagai inisiatif KPKM bagi mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang beberapa tahun akan datang. Dengan pemerkasaan aspek penyelidikan dan pembangunan formulasi makanan ternakan, Mohamad mencita-citakan sektor ternakan akan menjadi pilihan masyarakat sebagai salah satu kerjaya mereka.
Beberapa negara telah Mohamad kunjungi, kesemuanya tidak meninggalkan tekad Mohamad untuk membangunkan dan mengaruspedakan sektor perikanan. Rakan-rakan sejawat yang ditemui semuanya dengan harapan dapat bekerjasama dengan Malaysia demi mencari altenatif memajukan sektor perikanan dan taraf hidup nelayan itu sendiri.
Jika Sanusi tadi merupakan menteri yang kreatif ketika memimpin Kementerian Pertanian, Mohamad pula adalah menteri pertanian yang mempunyai wawasanya kepada negara. Walau belum cukup dua tahun diberikan tanggungjawab di KPKM, Mohamad sudah mempunyai tekada dan komitmen beliau untuk melihat sektor pertanian dimasa hadapan. Memahami aspek pertanian dan perikanan bukanlah boleh dituai hasil dalam jangka masa yang singkat, Mohamad dilihat yakin akan wawasannya kelak akan memberi manfaat kepada generasi mendatang.
Cikgu Syazmir HN