
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan inisiatif baharu, WhatsApp Aduan Kebersihan Premis Makanan, platform khusus bagi orang awam menyalurkan aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar Ramadan, kata Menterinya Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata platform itu diperkenalkan bagi memastikan keselamatan makanan menjadi tanggungjawab bersama dan aduan dapat disampaikan secara langsung.
Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan menerusi talian 012-8484378.

“WhatsApp Aduan Kebersihan Premis Makanan ini melengkapkan ekosistem sedia ada dengan menambah satu lagi saluran aduan.
“Ia melengkapi platform lain seperti Sistem Pengurusan Aduan (SISPA), Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), e-mel rasmi, serta aduan terus ke Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.
Dalam memastikan tahap kebersihan makanan terjamin, beliau berkata, KKM turut menekankan kepentingan latihan dan pemeriksaan ke atas pengendali makanan.

“KKM juga memastikan pemeriksaan terhadap pengendali makanan dijalankan bagi memastikan mereka telah menjalani Latihan Pengendalian Makanan (LPM) dan menerima suntikan typhoid sebelum mengendalikan makanan,” katanya.
Dzulkefly ditemui pemberita pada program Kick Off Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan 2025 di Tapak Bazar Ramadan Presint 3 Putrajaya di sini. –Berita RTM