SelangorToday

JUALAN MURAH DITERUSKAN SEHINGGA SEPTEMBER WALAUPUN DNS BUBAR – IR.IZHAM

Pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Jumaat ini tidak menghalang penganjuran program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

EXCO pertanian Ir Izham Hashim berkata program Jualan Ehsan Rahmah (JER) tetap diteruskan ke semua 56 Dewan Undangan Negeri bagi membantu penduduk menampung kos sara hidup.

“Perancangan sudah dibuat dan kita tetap teruskan sehingga September depan walaupun DNS bubar. Ini merupakan langkah Kerajaan Negeri membantu meringankan kos belanja.

“Jadi perlu diteruskan kerana ramai terima manfaat malah sempena Aidiladha nanti kita buat jualan khas untuk memudahkan penduduk dapatkan keperluan raya,” katanya kepada Selangorkini.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan DNS dibubarkan pada Jumaat ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Diperkenalkan sejak tahun lalu, JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lepas dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.

Susulan sambutan menggalakkan, jualan murah yang sepatutnya berakhir pada Mei diteruskan hingga 1 September ini.

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri, baru-baru ini.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Exit mobile version