SelangorToday

JUALAN MURAH KOHIJRAH SEDIA AYAM DAN DAGING UNTUK RAKYAT SELANGOR

Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) menyediakan 250 ekor ayam pada jualan murah barangan asas secara besar-besaran hari ini. Pengurus Besarnya berkata bekalan ayam itu bagi membolehkan lebih ramai masyarakat mendapat manfaat pada program yang berlangsung di tapak Pasar Malam Berjaya Park Seksyen 32 di sini.

“Selain ayam, Kohijrah juga membawa 350 kilogram daging pejal dan tulang. Menariknya Kohijrah menawarkan diskaun tambahan RM5 iaitu RM30 bagi produk daging dan manakala tulang lembu pula RM32. Kita mempelawa masyarakat setempat untuk hadir lagi pada Rabu dan Jumaat ini bagi mendapatkan barangan keperluan asas selain jualan ini merupakan lubuk kepada semua usahawan Kohijrah,” kata Mohammad Syukri Ismail. Beliau ditemui pada Program Jualan Prihatin Rakyat di tapak Pasar Malam Berjaya Park Seksyen 32 yang bermula jam 4 petang hingga 8 malam.

Semalam, Exco Infrastruktur dan Pertanian memaklumkan jualan murah barangan asas secara besar-besaran akan bermula hari ini sehingga 2 Mei di 29 lokasi seluruh Selangor. Ir Izham Hashim berkata Jualan Prihatin Rakyat sempena Aidilfitri menawarkan 23,200 ayam segar, 23,200kg daging pejal, tulang lembu (16,700kg), telur ayam gred B (18,200 papan), minyak masak paket (25,200 kg) serta 1,500kg ikan selayang dan kembung (QFish). Inisiatif itu membabitkan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Kohijrah.

Exit mobile version