
Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan sebarang peruntukan kerajaan tidak boleh diumumkan dalam tempoh pilihan raya.
Merujuk kepada pengumuman yang dibuat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berhubung peruntukan RM6.13 juta bagi 33 projek pembangunan di kawasan Parlimen Tapah pada Khamis lalu, Perdana Menteri berkata, ia dibuat sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
“Ia sebelum penamaan calon. Jika selepas itu, kita beri amaran, tidak boleh,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Khamis lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM6.13 bagi 33 projek pembangunan dan infrastruktur awam, di Parlimen Tapah .

Katanya, kelulusan peruntukan itu adalah bawah Program Sentuhan Kasih 3.0 yang menjadi jumlah tertinggi dalam sejarah.
Peruntukan itu merangkumi 16 projek bawah seliaan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), 10 projek Bahagian Kampung Baru Cina (BKBC), dua projek Jabatan Landskap Negara (JLN), tiga projek Jabatan Perumahan Negara (JPN), dan dua projek Bahagian Kesejahteraan Komuniti (BSK).
Susulan itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyelar keras pengumuman Kor Ming itu dan menyifatkan penggunaan kedudukan Menteri untuk menyalurkan projek dan dana kerajaan ke kawasan yang sedang berdepan pilihan raya satu bentuk penggunaan sumber kerajaan secara tidak adil.