SelangorToday

KADAR KESUBURAN RAKYAT SELANGOR MENURUN, NEGERI GARIS TIGA TERAS PERLAHAN TREND

Negeri Selangor mengalami penurunan kadar kelahiran hidup pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya. Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, indikator tersebut secara langsung menujukkan kadar kesuburan rakyat Selangor mengalami penurunan. Jika masalah ini tidak diatasi, beliau berkata ia akan membantutkan pasaran buruh di Negeri Selangor pada masa akan datang.

Anfaal berucap ketika merasmikan Seminar Kependudukan Negeri Selangor 2024(SKNS 24) di Shah Alam sebentar tadi. Jelasnya, dalam keadaan akses pendidikan yang semakin baik, golongan wanita turut mendapat manfaat melalui peningkatan taraf pendidikan. Namun dengan peningkatan taraf pendidikan tersebut, golongan wanita khususnya akan memasuki fasa perkahwinan pada tempoh yang agak lewat. Ini akan menyebabkan kadar kelahiran di Selangor mula menurun memandangkan tempoh perkahwinan dan tamat reproduktif adalah singkat.

Timbalan Ketua Wanita AMANAH itu memberikan contoh berdasarkan data yang direkodkan melalui Kadar Kesuburan Jumlah(KKJ), Jabatan Perangkaan Malaysia. Katanya jika pada tahun 2010, purata wanita yang hidup sehingga tempoh reproduktif tamat adalah 2 hingga 3 (2.1) anak sahaja, namun pada tahun 2022, purata bagi kategori yang sama hanyalah 1 hingga 2 (1.6) anak sahaja. Trend ini tidak mampu menampung jumlah populasi sedia ada.

Anfaal yang juga Ahli Dewan Negeri Taman Templer turut menambah, sistem sokongan kesihatan yang bertambah baik akan mendorong jangka hayat rakyat Malaysia lebih panjang. Dengan itu jumlah golongan warga emas akan melebar berbanding jumlah golongan generasi muda. Tentunya hal ini akan mempengaruhi pasaran tenaga kerja dan nisbah tanggungan warga tua bertambah.

Oleh itu, melalui seminar ini, Anfaal mengharapkan beberapa langkah dan dasar untuk memperlahankan trend tersebut boleh dilakukan oleh kerajaan negeri. Melalui tiga teras yang ditetapkan iaitu, kependudukan, pembangunan keluarga dan reproduksi manusia seminar ini mampu membantu kerajaan negeri menyediakan pelan perancangan dan pelaksanaan program. – SelangorToday

Exit mobile version