SelangorToday

KALIMAH ALLAH: PEMUDA AMANAH BERI PERINGATAN, SERU SYARIKAT PENGELUARAN BERHATI-HATI

Pemuda AMANAH Nasional melalui satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memberikan peringatan kepada semua pihak khususnya syarikat pengeluar barangan di Malaysia untuk bersikap sensitif dan berhati-hati dalam setiap pengeluaran mereka. Jelas Pengarah Komunikasinya, Asim Abdullah, Pemuda AMANAH memandang serius situasi penjualan stoking yang tertulis kalimah Allah di tiga cawangan KK Mart baru-baru ini. Malah Pemuda AMANAH mahu pengilang, pengedar mahupun peruncit untuk lebih sensitif terhadap isu-isu agama terutamanya berkaitan kalimah Allah.

Tambah Asim, hal ini merupakan satu tonggak penting dalam mengekalkan keharmonian agama di Malaysia dan kesucian agama Islam.  Pemuda AMANAH menyeru KK Mart dan mana-mana syarikat lain mengambil pendekatan yang lebih berhemah dalam pengurusan produk mereka. Pemuda AMANAH tidak mengambil ringan isu ini meskipun KK Mart telah pun membuat permohonan maaf. Jelas Asim lagi, dalam era globalisasi dan media sosial yang bergerak pesat, setiap tindakan syarikat akan disorot dan boleh memberi impak yang besar terhadap reputasi mereka. Demkian itu, pentingnya pihak syarikat untuk berhati-hati dan menghormati nilai-niali agama tempatan dan mengambil langkah yang sesuai untuk mengelakkan kemungkinan konflik dengan pelanggan mereka.

Pada 13 Mac lalu tular di media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna. Selain itu, Pemuda AMANAH Nasional mencadangkan kepada kerajaan untuk memperkuatkan undang-undang yang berkaitan dengan perlindungan sensitiviti agama termasuk dalam bidang perniagaan.  Seharusnya langkah-langkah undang-undang yang lebih tegas akan memberi isyarat yang jelas kepada syarikat pengeluar akan kesan pelanggaran sensitiviti agama kepada perniagaan mereka. – SelangorToday

Exit mobile version