 
                SHAH ALAM, 30 Julai — Pemuda AMANAH Selangor hari ini mengecam keras tindakan segelintir penyokong PAS yang membandingkan pembelian karya satira oleh DYMM Sultan Selangor dengan karikatur berunsur penghinaan yang diterbitkan oleh Ahli Parlimen PAS, YB Ahmad Fadhli Shaari.
Dalam satu kenyataan rasmi, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Ammar Izham menyifatkan perbandingan tersebut sebagai “dangkal, tidak beradab dan mencemarkan nama baik institusi diraja”.
“Lukisan yang dibeli oleh Tuanku hanyalah sebuah karya seni kritikan umum terhadap parlimen secara kolektif, bukan ditujukan kepada mana-mana individu, dan digunakan untuk tujuan amal kebajikan. Ia tidak wajar dijadikan bahan serangan politik murahan,” tegas beliau.

Sebaliknya, tambah Ammar, karikatur yang dimuat naik oleh Ahmad Fadhli di media sosial menyamakan pemimpin negara dengan haiwan sebagai satu tindakan yang bukan sahaja melanggar adab, malah turut memberi kesan buruk di peringkat hubungan diplomatik serta menjatuhkan imej negara di mata dunia.
“Perbandingan antara dua perkara yang amat berbeza dari segi konteks dan niat ini memperlihatkan kegagalan memahami batas antara seni, adab dan propaganda politik,” ujar beliau lagi.

Justeru, Pemuda AMANAH Selangor menggesa PAS supaya menegur penyokong dan pemimpin mereka agar tidak terus menghina daya fikir rakyat melalui manipulasi politik yang tidak bermaruah.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan muda, agar menolak budaya politik hina dan tidak matang, dan sebaliknya mendukung politik yang beretika, berfakta dan berakhlak,” kata Ammar dalam kenyataan tersebut.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            