SelangorToday

KARNIVAL BACA PERDANA JADI PENGHUBUNG MASYARAKAT MAJMUK MELALUI BUKU

Karnival Baca Perdana 2024 anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dijangka menjadi jambatan penghubung masyarakat berbilang kaum melalui buku dan bahan bacaan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata karnival ini bukan sahaja bertujuan bagi mempromosikan budaya membaca malah menyatukan masyarakat Malaysia dalam semangat perpaduan.

“Karnival Baca Perdana ini bukan sahaja satu perayaan ilmu, tetapi juga platform untuk mendekatkan buku dan ilmu kepada masyarakat, di samping memupuk perpaduan,” katanya selepas merasmikan pelancaran Karnival Baca Perdana 2024 di Pusat Beli-Belah MyTown di ibu negara.

Bertemakan “Perpaduan dalam Pembacaan”, karnival ini akan berlangsung sepanjang bulan Oktober dengan lebih 20 program yang menarik dijalankan meliputi segenap lapisan masyarakat.

“Ini adalah satu tema yang sangat relevan, terutamanya di dalam masyarakat yang berbilang kaum dan budaya seperti negara kita.

“Pembacaan adalah alat yang sangat berkuasa. Ia mampu meruntuhkan tembok yang memisahkan kita dan membina jambatan yang menghubungkan hati dan minda,” tambahnya.

Antara program utama termasuk Bicara Intelektual 2024: Demi Masa Depan Kita Bersama, Sesi Booktubers & Bookstagrammers: Bicara Penulisan Buku Melalui Media Sosial, dan Forum Membaca Perdana: Simfoni Perpaduan Melalui Pembacaan.


— fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHAR

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Aaron turut berkongsi hasil Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 yang menunjukkan peningkatan ketara dalam kadar pembacaan, di mana rakyat Malaysia kini membaca purata 24 naskhah buku setahun.

Beliau juga mengumumkan beberapa inisiatif baharu, termasuk cadangan untuk mewujudkan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) mulai 2025 untuk memantau tahap pembacaan rakyat, serta memperkenalkan semula Program Penebusan Baucar Buku bagi menggalakkan minat membaca.

Selain itu, PNM akan melaksanakan lebih banyak program berbentuk aktiviti sosial menjelang tahun 2025, dengan fokus kepada menyatupadukan masyarakat dalam konteks Malaysia MADANI. – AWANI

Exit mobile version