Site icon SelangorToday

KDN SIASAT ILUSTRASI JALUR GEMILANG DISIARKAN AKHBAR SIN CHEW DAILY

akhbar-sin-chew-daily-mohon-maaf

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius serta amat kesal terhadap tindakan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk tidak lengkap pada muka hadapan terbitan 15 April 2025.

KDN dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah memulakan siasatan segera dan tindakan telah diambil berlandaskan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].

“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah satu kecuaian yang serius dan tidak sepatutnya berlaku,” kata kenyataan itu.

Menurut KDN, kesilapan tersebut bukan sahaja menunjukkan kecuaian profesionalisme, malah berpotensi mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Jalur Gemilang bukan sekadar simbol, sebaliknya melambangkan kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara yang wajib dihormati serta dijaga oleh semua pihak.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Lambang dan Nama [Akta 414],” kata KDN.

Tambah kementerian itu lagi, mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian dalam penerbitan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam. Siasatan akan dijalankan di bawah peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan [Akta 301], dan tindakan susulan akan dipertimbangkan selepas siasatan lengkap.

Susulan insiden tersebut, pihak Sin Chew Daily telah dipanggil hari ini bagi tujuan siasatan dan telah diberikan Surat Tunjuk Sebab.

KDN menegaskan bahawa sebagai kementerian yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, pihaknya tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara.

Exit mobile version