Keperluan mahasiswa Selangor yang menuntut di Jordan akan diberikan perhatian oleh Kerajaan Selangor. Dato’ Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa pelbagi perkara termasuk keperluan 300 mahasiswa Selangor yang menuntut ilmu di Jordan dibincang bersama Duta Malaysia di negara berkenaan semalam. Tambah beliau yang juga Pengerusi HARAPAN Selangor, Selangor bersedia memberikan perhatian kepada isu tersebut termasuk bakal pelajar yang akan menuntut disini.
Dalam pertemuan bersama Duta Malaysia ke Jordan, Amirudin turut melihat peluang menempatkan mahasiswa di beberapa universiti sekitar kawasan berkenaan. Sebaliknya ruang disediakan jika ada pelajar Jordan yang ingin menuntut ilmu di Malaysia.
Ahli Parlimen Gombak itu memulakan lawatan sejak kelmarin bakal mengadakan pertemuan bersama penasihat utama Raja Abdullah, Putera Ghazi Muhammad dan menghadiri majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Jordan. Esok, Amirudin dijadual menyertai bual bicara Mahasiswa Selangor di Jordan, melawat penempatan pelajar dan merasmikan penutupan Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah 2023. – SelangorToday