Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari menegaskan usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya mengatasi keganasan rumah tangga perlu dijadikan tumpuan utama. Melalui catatan di laman sosial beliau, Anfaal mengangap Selangor berada pada kedudukan ketiga tertinggi mencatat kes keganasan rumah tangga adalah satu amaran tegas buat Selangor untuk menangani masalah tersebut sebaik mungkin.
Beliau berucap merasmikan Penutup Seminar Memerangi Keganasan Rumah Tangga(KRT) Polis Selangor 2023 anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor. Dua seminar yang dianjurkan secara berasingan itu diadakan dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor(WBS) di Kompleks Karangkraf, Shah Alam. Ia merangkumi 400 orang peserta yang terdiri daripada pegawai polis Sleangor, Jabatan Kerajaan, NGO, Sektor Swasta dan komuniti dari seluruh Selangor.
Anfaal yang juga Naib Ketua AWAN Nasional mengharapkan penganjuran seminar tersebut dapat memberikan kesedaran kepada peserta dan masyarakat khususnya untuk lebih peka terhadap kes keganasan rumah tangga khususnya yang berlaku disekeliling kita. Anfaal menghargai usaha semua pihak dan agensi yang terlibat dalam usaha ini dan terus memberikan jaminan kepada masyarakat bahawa Selangor akan memberikan komitmen tinggi dalam menangani kes keganasan rumah tangga. – SelangorToday