SHAH ALAM, 7 Julai 2025 – [DN Selangor] Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 yang dibentangkan EXCO Hal Ehwal Agama Islam, YB Dr Mohammad Fahmi Ngah hari ini di Dewan Negeri Selangor dilihat mampu menjadi benteng kukuh mengekang fahaman ekstremisme dan gejala takfiri dalam kalangan umat Islam.
Dalam perbahasan menyokong pindaan tersebut, Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Abbas Azmi menegaskan bahawa pindaan ini bukan sahaja menyusun semula aspek pentadbiran agama, tetapi turut membawa kesan besar dalam mendidik masyarakat tentang pentingnya pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bersifat sederhana dan inklusif.

“Saya melihat enakmen ini sebagai satu permulaan penting dalam usaha kerajaan negeri memantapkan kefahaman umat Islam terhadap pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jika benar-benar difahami dan diamalkan, ia mampu menyelesaikan pelbagai permasalahan umat, termasuk gejala ekstremisme dan perpecahan yang berpunca daripada isu-isu khilafiah yang kecil,” ujar beliau.
Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor itu, gejala takfiri – iaitu budaya saling mengkafirkan antara satu sama lain – semakin membimbangkan dan boleh mengundang kesan buruk terhadap keharmonian masyarakat Islam di negeri ini.
“Perpecahan umat Islam hari ini bukanlah kerana perbezaan akidah yang besar, tetapi kerana hal-hal kecil yang sepatutnya boleh dibincangkan secara harmoni. Namun apabila wujud sikap melampau, termasuk mengkafirkan orang lain atas perbezaan politik atau pandangan, ia menjadi racun kepada perpaduan,” katanya lagi.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PH Selangor itu turut menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan Selangor menghadapi nasib serupa dengan negara-negara di Timur Tengah yang terjerumus dalam konflik saudara akibat tidak menangani fahaman takfiri sejak awal.
“Kalau kita lihat di beberapa negara, ada yang berperang atas nama agama – sebelah sana Allahu Akhbar, sebelah sini pun Allahu Akhbar – akhirnya kita tak tahu siapa yang benar. Itu semua berpunca daripada takfiri yang tidak dikawal.”

Sehubungan itu, beliau menyokong penuh usaha kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam menegaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah berpaksikan manhaj Asyairah dan Maturidiyyah sebagai tunjang utama pentadbiran agama di negeri ini.
Beliau menggesa agar usaha ini diterjemahkan melalui tindakan yang lebih konkrit seperti kempen kesedaran, latihan imam dan pendakwah, serta pendidikan yang menekankan prinsip wasatiyyah (kesederhanaan).
“Saya mengalu-alukan usaha ini bukan sekadar sebagai pengumuman dasar, tetapi sebagai langkah bersepadu untuk memperkukuh perpaduan umat Islam di Selangor dan menjamin kestabilan negeri yang kita kecapi hari ini,” tegas beliau.
RUU 2025 dijangka menjadi antara instrumen penting dalam memerangi fahaman ekstremisme dan memastikan pentadbiran agama Islam di Selangor terus relevan, progresif dan selaras dengan prinsip kesederhanaan Islam yang sebenar.