SelangorToday

Keikhlasan PM Anwar Terhadap Tuntutan 40% Hasil Sabah Pacu Semangat MA63

Isu pemulangan empat puluh peratus hasil bersih Sabah kepada kerajaan negeri bukan sekadar persoalan fiskal, tetapi cerminan hubungan keadilan antara wilayah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63. Sejak tahun 1974, pelaksanaan hak ini telah tertangguh apabila perjanjian kewangan baharu ditandatangani antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, yang kemudiannya tidak disemak semula mengikut tempoh lima tahun seperti yang dijanjikan. Akibatnya, Sabah telah menunggu lebih lima dekad untuk mendapatkan kembali hak kewangannya yang sah di sisi perundangan.

Dalam suasana panjang penantian itu, langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Sabah berhubung semakan hak empat puluh peratus hasil menunjukkan satu pendirian yang jujur dan berani. Keputusan tersebut bukan perkara kecil, tetapi manifestasi tekad politik yang mengutamakan keadilan dan saling percaya antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan. Ia mengisyaratkan bahawa kerajaan hari ini memilih jalan damai dan dialog, bukan pertikaian undang-undang, sebagai asas penyelesaian terhadap isu bersejarah ini.

Perdana Menteri dalam kenyataannya menegaskan bahawa kerajaan pusat mengiktiraf sepenuhnya hak Sabah di bawah MA63, namun penyelesaian mesti disusun melalui rundingan yang telus dan bertanggungjawab. Pendekatan ini menggambarkan politik hikmah yang menzahirkan keadilan dilaksanakan dengan bijaksana, mempertimbangkan kestabilan fiskal negara serta kesiapsiagaan pentadbiran negeri. Ia juga menandakan perubahan besar dalam budaya kepimpinan nasional, daripada pendekatan birokratik yang menangguhkan keputusan kepada kepimpinan yang berani berdepan realiti sejarah.

Proses pelaksanaan penuh hak ini masih menuntut masa serta kesepakatan teknikal antara dua kerajaan. Perdana Menteri menjelaskan bahawa rundingan terperinci akan disambung selepas pembentukan kerajaan negeri Sabah yang baharu agar keputusan dibuat dengan mandat politik yang sah. Walaupun langkah ini ada yang dianggap sebagai penangguhan, hakikatnya ia memperlihatkan keikhlasan politik untuk memastikan pelaksanaan hak empat puluh peratus ini benar-benar berlandaskan undang-undang dan bukan desakan emosi atau retorik politik semata-mata.

Dari sudut yang lebih luas, keputusan ini menghidupkan semula semangat MA63 sebagai asas kepada gagasan Malaysia Madani. Gagasan madani bukan sekadar slogan pembangunan, tetapi prinsip keadilan dan keseimbangan wilayah yang menjadi asas pembentukan negara. Apabila Sabah menerima kembali hak hasilnya, ia bukan sekadar soal peruntukan kewangan, tetapi tanda bahawa Persekutuan menghormati janji dan mengiktiraf maruah negeri sebagai rakan kongsi sah dalam pembinaan Malaysia.

Bagi rakyat Sabah, isyarat keikhlasan ini amat besar ertinya. Ia mengembalikan keyakinan terhadap kesungguhan kerajaan pusat membela kepentingan wilayah timur tanah air. Untuk pertama kali dalam tempoh yang panjang, tuntutan yang dahulunya dianggap sensitif kini dibahaskan secara terbuka dan inklusif. Hal ini mencerminkan pendekatan baharu Perdana Menteri yang berteraskan politik keterbukaan dan muafakat, bukan pertentangan serta perpecahan.

Dalam konteks hubungan antara Persekutuan dan Sabah, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang meletakkan asas yang lebih kukuh bagi Malaysia yang adil dan seimbang. Keputusan beliau untuk berdepan isu ini dengan hati terbuka membuktikan bahawa keikhlasan dan tekad politik masih menjadi asas kepada penyatuan negara.

Rakyat wajar menilai dengan hati terbuka kesungguhan Kerajaan Madani ini dalam menunaikan janji keadilan dan keseimbangan wilayah. Sokongan rakyat, khususnya di Sabah dan seluruh Malaysia, amat penting bagi memastikan kesinambungan usaha reformasi ini dapat diteruskan dengan penuh kestabilan politik. Menjelang Pilihan Raya Negeri yang akan datang, marilah kita memberi kepercayaan kepada kepimpinan yang ikhlas, berani dan berpaksikan prinsip Malaysia Madani agar janji MA63 benar-benar menjadi kenyataan dalam kehidupan rakyat.

Ditulis oleh:Shamsul Ma’arif Ismail
Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional

Exit mobile version