- Kejahatan tetap kejahatan namun ada tahap-tahapnya yang meletakkan sesuatu perbuatan jahat itu lebih buruk dari perbuatan jahat yang lain. Sebesar-besar kejahatan ialah apabila ia dilakukan terang-terangan tanpa rasa bersalah dan malu pada perbuatannya. Ada bezanya ‘Al Jahru bil Ma’siah’ dan ‘Al Ma’siah semata’ dari sudut jeliknya sesuatu kesalahan. Demikianlah kisah umat Nabi Lut, Nabi Salleh dan Firaun dimusnahkan kerana kejahatan mereka dilakukan dengan sombong di siang hari!
“Dan berapa banyak Kami binasakan negeri2 yang penduduknya telah berlaku sombong dan tidak bersyukor dalam kehidupannya…” (al Qasas: 58)
- Tahap kejahatan dinilai juga dari sudut siapa pelakunya dan siapa yang terkesan dari perbuatan jahatnya. Sebab itulah hadis Nabi s.a.w riwayat Ibnu Umar menjelaskan tentang kedudukan seseorang yang diamanahkan mengikut tahap penguasaannya bermula dari Amir seorang ketua yang besar hinggalah kepada ketua keluarga dan seorang isteri terhadap suami dan anaknya.
- Dari kacamata Syariat Islam, negara Malaysia dilanda tanda-tanda yang boleh membawa kehancuran dan kerosakan kerana kejahatan pemimpin yang telah meninggalkan kesan kepada rakyat yang bergantung harap kepada mereka. Sebesar-besar kejahatan ialah menjadikan kedudukan sebagai habuan peribadi dan dalam proses itu mengkhianati amanah dan mandat ummah.
‘Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah ke atas kamu, sedangkan kamu mengetahui salahnya (perbuatan tersebut) (Al Anfal: 27)
- Apa yang berlaku kepada isu Ketua Pesuruhnya SPRM adalah amaran keras kepada sesuatu kejahatan yang dibuat siang-siang hari. Ia adalah perbuatan mengkhianati amanah sedangkan dia dipertanggungjawabkan menjaga integriti negara. Alasannya juga dibuat terang-terangan tanpa rasa bersalah kononnya saham itu adalah adiknya yang punya dengan menggunakan akaunnya di Suruhanjaya Sekuriti. Ada banyak persoalan yang sepatutnya memberi kejutan kepada rakyat seperti ‘bagaimana pemilikan saham bernilai jutaan ringgit termampu oleh seorang penjawat awam di SPRM? bukankah ada ada percanggahan kepentingan? Betulkah adiknya menggunakan akaunnya dengan Suruhanjaya Sekuriti tanpa deklarasi terlebih dahulu dan diletakkan penamanya? Apakah Suruhanjaya Sekuriti dikompromikan? Banyak lagi akan terdedah apabila seorang yang berkedudukan tinggi amanahnya mula mempertahankan pengkhianatannya!
- Kita dikejutkan dengan banjir baru-baru ini, namun apa yang lebih menggerunkan ialah batang-batang balak yang bergelimpangan dibawa arus air banjir sehingga terhempas di atas bumbung rumah-rumah rakyat marhein. Kerosakan nampak jelas kerana ketamakan manusia di atas yang meninggalkan kesan menyayat hati kepada rakyat. Balak yang dicari tetapi Bala pula menimpa rakyat! Ini petanda kejahatan yang dilakukan terang-terangan dan hikmah banjir mendedahkan segalanya! Sekarang kejahatan dapat dilihat oleh semua rakyat.
“Telah nampak jelas kerosakan di daratan dan di lautan air di atas apa yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia (perbuatan manusia) supaya kesannya dikenakan ke atas mereka dari sebahagian kerosakan yang mereka lakukan agar dengan demikian (azab yang menimpa mereka) dapat menyedarkan mereka (supaya mereka berhenti membuat kerosakan)” (Al Rum: 41)
- Sebagai membela kepentingan Syariat Islam, umat bersama rakyat harus bangkit memberhentikan kejahatan siang-siang hari yang mencabar hak Allah tanpa rasa segan silu. Allah memerintahkan umat Islam menentang Rasuah adalah kerana ia satu bentuk pembohongan, pengkhianatan dan kezaliman yang membawa Bala Kemusnahan kepada semua orang! Syariat dijadikan adalah demi kemaslahatan manusia dan alam sekitarnya. Kemaslahatan yang dinodai adalah kesombongan terhadap Allah.
- Menjijikkan apabila pengkhianatan rasuah dan pembohongan dipertahankan oleh pihak berwajib dan umat mendiamkan diri kerana dilalikan dengan mentera “Melayu-Isle”. Ada pula yang memilih ‘perjuangan lebih besar’ daripada Kerosakan ini dengan slogan “No Anwar” No Dap” dan “Islam Terancam”. Apa sudah jadi kepada kita! Kejahatan di Siang Hari telah Allah tunjukkan, di mana akal dan dhomir hati kita? Butakah kita?
- Syariat tidak tinggalkan kita dalam kedukaan kerana kejahatan ini, kita perlu lakukan apa yang diperintahkan iaitu memastikan pemimpin yang menjaga amanah umat dan negara adalah pemimpin yang menjadi Khadam Umah, Menolak Rasuah dan Menjaminkan Kesejahteraan Negara. Ruang berbuat demikian terbuka luas dalam PRU nanti, umat Islam harus pilih siapa musuh sebenar negara yang mendorong dan menyokong kerosakan dan dengan itu pilihan menetapkan siapa yang akan menjamin kebahagiaan rakyat akan lebih jelas justeru memenuhi mandat diberikan kepada mereka yang layak dan beramanah!
“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”. (Al Qasas: 26)
YB DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Amanah
Ahli Parlimen Parit Buntar