SelangorToday

KEKAL 1 KES MPOX DI MALAYSIA – DR. DZULKEFLY

Tiada kes positif cacar monyet atau monkeypox’ (Mpox) varian clade II baharu dalam negara direkodkan setakat ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, hingga kini negara kekal mencatatkan satu kes positif yang direkodkan pada September lalu.

“Tiada kes baharu (positif mpox). Kes dahulu satu positif,” katanya selepas merasmikan Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan Transplan Sel Stem/Sumsum Tulang di Auditorium Hospital Ampang, hari ini.

Malaysia mencatatkan kes Mpox pertama pada 16 September lalu apabila seorang pesakit disahkan positif virus itu yang dikesan daripada 58 kes disyaki mpox.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata pihaknya mengambil langkah siap siaga dan menyaring lebih 22.8 juta pengembara yang masuk ke negara ini tetapi semuanya negatif.

Media antarabangsa hari ini melaporkan kes pertama strain mpox yang lebih teruk di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan di San Mateo County, California.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, ujian mengesahkan kes mpox itu adalah daripada strain clade I.

Menurut Jabatan Kesihatan Awam California, individu itu baru-baru ini melakukan perjalanan dari Afrika, di mana terdapat wabak yang sedang berlaku. – Berita Harian

Exit mobile version