KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan cubaan menjatuhkan kerajaan yang kini dalam siasatan polis bukan hanya membabitkan pihak luar negara yang bersekongkol dengan warga tempatan, malah pembabitan secara langsung kelompok Zionis terkemuka.
Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu memberi sedikit lagi masa untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatannya, sebelum maklumat itu dapat dikongsi kepada umum, jika bersesuaian termasuk kepada Ahli Parlimen.
“Dan kalau esok tahu orang yang nak dipertahankan oleh Yang Berhormat Arau itu, itu di antara kelompok Zionis terkemuka. Digunakan dalam program, projek ini dan nanti tunggu… sabar, seminggu atau dua minggu, bila keadaannya terbongkar, boleh diceritakan.
“Apakah kita pilih nak pertahan? Tak ada orang lain dalam dunia untuk pertahankan kedudukan kita. Selain daripada merujuk kepada tokoh Zionis yang memang jelas menentang Islam dan negara-negara yang mempertahankan Gaza dan apalagi dengan kenyataan kita semalam (mengenai Iran),” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.Sebelum ini, PDRM memaklumkan sedang menyiasat seorang individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Siasatan itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, konspirasi terancang membabitkan penggunaan agensi pelobi asing, jurubank dan agensi media antarabangsa itu bermula sejak Ogos 2024 dan akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

