SelangorToday

KELUAR SEKEJAP : SAIFUDDIN DEDAH RAHSIA BELIAU DAN ZAHID

Ketua Setiausaha HARAPAN, Saifuddin Nasution bin Ismail mendedahkan rahsia beliau dalam bual bicara ‘Keluar Sekejap’ yang dihoskan oleh Khairy Jamalauddin dan Shahril Hamdan semalam. Kata Saifuddin, Ahmad Zahid yang kini Presiden UMNO merupakan insan yang telah menarik beliau menyertai politik pada awal 90an. Jelas Saifuddin, beliau yang ketika itu bercadang untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi ditawarkan oleh Ahmad Zahid menjadi pembantu beliau. Ahmad Zahid sedang berada di posisi Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan, Najib Tun Razak itu turut melantik Saifuddin sebagai Setiausaha Biro Penerangan Pemuda UMNO Malaysia.

Bagi mereka yang baru atau mengenali Saifuddin sebagai pemimpin pembangkang, pastinya kisah permulaan karier politik Saifuddin menjadi sesuatu yang mengujakan memandangkan sejak 1998 sehingga 2022, Saifuddin berada dalam kem yang berbeza dengan Ahmad Zahid dan selalu bertembung antara ideologi pembangkang dan kerajaan. Namun mereka kembali disatukan dalam satu barisan kabinet kerajaan madani sambil menobatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Terkini, Saifuddin merupakan Menteri Dalam Negeri manakala Ahmad Zahid merupakan Timbalan Perdana Menteri. Dalam bual bicara yang telah mencapai 123 ribu tontonan kurang daripada 24 jam itu, Saifuddin tidak menafikan bahawa keserasian beliau bersama Ahmad Zahid banyak membantu merintis jalan kerjasama pasca PRU 2022 sehingga berjaya menubuhkan kerajaan perpaduan.

Dalam masa yang sama, Saifuddin optimis kepada agenda reformasi yang diperjuangkan sejak dulu setelah menerajui Kementerian Dalam Negeri. Prinsip beliau yang menekankan soal ‘jika tak boleh buat semua, jangan tinggal semua’ menjadi teras kepimpinan beliau dalam menganjak kementerian yang penting itu untuk direformasikan. Mengulas kerjasama parti dalam Perpaduan menuju PRU ke-16, Saifuddin menegaskan belum ada keputusan muktamad mengenai kerjasama tersebut, tetapi perbincangan awal telah dimulakan. – SelangorToday

Exit mobile version