SelangorToday

KELUARGA PERPADUAN : PH-BN GOMBAK MENGORAK LANGKAH MENUJU PRN SELANGOR

Parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan diperingkat Parlimen Gombak mula mengorak langkah dengan mengadakan pertemuan mahabbah antara pimpinan parti. Ia merupakan satu-satunya parlimen yang memulakan inisiatif awal mengadakan perjumpaan antara pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi mencari titik tengah memulakan proses gerak gempur menghadapi Pilihan Raya Negeri yang dijangka pada bulan Julai atau Ogos tahun ini. Moreh Perpaduan yang dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat Cabang Gombak itu dihadiri pimpinan utama KEADILAN Gombak termasuk Amirudin Shari selaku Ketua Cabang dan Pengerusi PH Gombak, diikuti oleh pimpinan utama AMANAH, HJ A.Yazid Alias yang merupakan Timbalan Ketua AMANAH Gombak serta pimpinan lain. Program ini juga buat julung kalinya dihadiri oleh pimpinan UMNO Bahagian Gombak yang diketuai oleh Prof. Dr. Fitri selaku Ketua Penerangan UMNO Gombak.

Dalam ucapan pembukaan, Hj A. Yazid menegaskan bahawa perjumpaan ini merupakan titik tolak kepada langkah seterusnya dengan adanya kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat akar umbi khususnya Daerah Mengundi. Pentingnya untuk semua pimpinan kerap berjumpa dan bermusyawarah bagi mendepani PRN akan datang yang pastinya mencabar dari segi berhadapan dengan asakan pihak lawan serta kesepaduan antara parti yang perlu dijadikan imej besar kepada pengundi. Sayap-sayap parti juga perlu menjadi tunjang utama pergerakan jentera pilihan raya mulai sekarang. Bagi pihak UMNO pula, dalam ucapan Prof. Dr. Fitri, meskipun kerjasama ini tidak pernah difikirkan sebelum PRU lalu, namun atas semangat dan prinsip mendahulukan kepentingan negara, maka UMNO sebagai tunjang BN di Gombak boleh bekerjasama dengan PH. Berhadapan dengan musuh tradisi seperti PAS di Gombak akan memudahkan jentera perpaduan digerakkan dalam PRN akan datang.

Amirudin selaku Ahli Parlimen Gombak pula menyatakan bahawa inilah nilai yang ada dalam parti-parti Kerajaan Perpaduan apabila kesemua pihak mengambil jalan tengah dan meredakan ketegangan politik untuk memastikan rakyat Malaysia tidak terpalit dengan masalah. Berbeza dengan pihak lawan, mereka sentiasa mencatur kedudukan politik sehingga rakyat menerima tempias yang buruk sekali. Amirudin juga berkata PN sentiasa menggunakan sentimen agama dan kaum bagi mendapat laba daripada pengundi, sedang rakyat Selangor telah menjadi pengundi yang rasional untuk memilih pemimpin atas merit dan keupayaan calon-calon yang bertanding. Jelas Amirudin lagi, PN sedang bertempur sesama sendiri bagi memastikan parti masing-masing mendapat kerusi terbanyak untuk ditandingi, namun PH dan BN saling bertoleransi dalam pembahagian kerusi serta terbuka menerima keputusan pimpinan yang bakal bergerak sebagai satu pasukan. Ini merupakan kemenangan awal sebelum PRN bermula. – Selangor Today

Exit mobile version