Keluasan hutan simpan kekal di Selangor bersaiz 250,739 hektar kian bertambah tahun ini dengan penwartaan dua hutan di Kuala Selangor dan Kuala Langat.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata dua hutan tersebut adalah Taman Alam Kuala Selangor dan Hutan Simpan Tanjung Dua Belas dengan berkeluasan 489 hektar.
“Ini menunjukkan komitmen negeri bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) untuk mencatatkan peratusan lagi tinggi bagi mengekalkan lebih banyak hutan simpan kekal di Selangor.
“Selangor merupakan satu-satunya negeri membekukan operasi pembalakan sehingga tahun 2035 jadi jumlah keluasan ini akan ditingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan program Saintifik Biodiversiti di Sungai Chiling, Hutan Simpan Hulu Selangor, di sini semalam.
Jamaliah menambah JPNS turut mencadangkan tambahan hutan simpan kekal yang kini dalam proses pewartaan membabitkan beberapa kawasan.
Beliau berkata langkah itu merupakan komitmen Kerajaan Selangor mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus tanah negeri sebagai hutan simpan kekal sejak 2010.