Sistem Parlimen perlu diperkemas bagi mengembalikan kepercayaan rakyat sekali gus mengelakkan institusi itu menjadi tempat sindiran politik atau perbalahan memalukan.
Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tersebut boleh dicapai melalui pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan pada 1992 sebagai panduan pengurusan.
“Sebelum ini kita ada Akta Perkhidmatan Parlimen yang berikan panduan untuk mentadbir dan mengurus, namun apabila dimansuh Parlimen hanya menjadi tempat luahan perasaan.
“Apatah lagi pada hari ini ia kelihatan menjadi tempat menyindir dan perbalahan berterusan,” katanya pada sesi perbahasan titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Amirudin, semua wakil rakyat bertanggungjawab mengembalikan akta tersebut bagi menaikkan semula nilai dan martabat mereka selain mengembalikan kuasa dan kedudukan Speaker.
“Kalau ini dapat kita lakukan, saya percaya kita boleh menjadikan Dewan Rakyat sebagai tempat menggubal dasar dan bukan lagi meluah perasaan,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor.
Akta Perkhidmatan Parlimen yang diperkenal pada 1963 membolehkan Dewan Rakyat bertindak sebagai badan bebas, melaksana hal ehwal sendiri, memilih kakitangan serta mengawal perbelanjaannya.