Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof menyedari akan hakikat keluhan ibubapa dan guru-guru terkait dengan sistem penilaian akademik yang sedang dilaksanakan di Malaysia.
Beliau mendengar dan turut tersentuh dengan kerisauan yang dipaparkan oleh masyarakat berkaitan kaedah Penilaian Berdasarkan Sekolah dan Penilaian Bilik Darjah sebagai sistem penilaian terkini. Katanya, ibubapa hari ini mahu tahu apa pencapaian anak mereka melalui gred peperiksaan yang diperoleh. Sama ada dapat A ke dapat B ke, sistem penilaian hari ini tidak memberi gambaran yang jelas kepada prestasi anak-anak.
Disamping itu, tiadanya peperiksaan berpusat ini, menyebabkan anak-anak yang tidak mempunyai cita-cita pendidikan yang tinggi tidak ada keinginan mahupun motivasi terhadap pendidikan. Ini semua merupakan pandangan daripada pihak guru dan ibubapa.
Walau bagaimana pun, Hj Azli yang merupakan Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional mengakui, sistem pendidikan tidak boleh diubah-ubah dalam tempoh satu atau dua tahun. Demikian itu, jika sistem penilaian sedia ada diteruskan, apakah usaha yang akan dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memberikan keyakinan kepada sistem tersebut.
Dalam masa yang sama, Hj Azli turut menanyakan apakah tindakan kerajaan untuk memperkasakan sistem sokongan agar guru sekolah tidak dibebani kerja bukan pendidikan yang banyak seterusnya mampu menumpukan tugas hakiki mereka dalam pendidikan.
Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu hari ini membahaskan Belanjawan 2025 peringkat Dasar di Dewan Rakyat turut memuji komitmen kerajaan MADANI dalam menyelaraskan semula subsidi pendidikan yang sebelum ini 30% daripada subsidi tersebut dinikmati oleh keluarga berpendapatan tinggi di sekolah asrama penuh. Namun apakah mekanisme yang akan digunakan pakai bagi memastikan anak-anak dikalangan miskin tidak tercicir daripada manfaat subsidi pendidikan.
Sidang Dewan Rakyat ditangguhkan jam 8.15 malam tadi bagi memberi laluan kepada cuti Perayaan Deepavali. Menteri-menteri akan menggulung perbahasan dan menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ahli parlimen mulai Isnin depan.- SelangorToday