KUALA LUMPUR, 6 November 2025 – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, YB Senator Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menyifatkan kemenangan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York bukan sekadar kejayaan peribadi seorang Muslim, tetapi simbol kebangkitan politik nilai yang berteraskan kemanusiaan dan keadilan sejagat.
Menurut Mujahid, kemenangan Mamdani membawa mesej yang jauh lebih besar daripada sekadar perwakilan agama atau kaum, sebaliknya menjadi tanda kemenangan politik berasaskan nilai manusiawi di tengah-tengah gelombang kebangkitan politik kebencian dan perpecahan yang semakin ketara di Amerika Syarikat dan seluruh dunia.

“Mamdani muncul dengan politik kemanusiaan dan keadilan tanpa tunduk kepada tekanan ideologi politik kanan konservatif mahupun liberal demokratik yang mendominasi politik Amerika,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Mujahid menambah, ketegasan Mamdani dalam memperjuangkan isu Palestin tanpa tunduk kepada pengaruh lobi Israel di New York memperlihatkan keberanian beliau mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat. Pada masa sama, Mamdani turut memperjuangkan keadilan sosial bagi rakyat New York yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi, termasuk mengusulkan dasar sosialisme yang menawarkan perkhidmatan awam percuma kepada golongan marhaen.
Beliau turut menjelaskan bahawa kemarahan golongan imigran terhadap dasar diskriminasi era pentadbiran Donald Trump menjadi antara faktor utama kemenangan Mamdani. Hampir 38 peratus penduduk New York merupakan rakyat Amerika kelahiran luar negara, manakala Mamdani sendiri merupakan kelahiran Uganda berketurunan India Muslim yang berhijrah ke Amerika ketika berusia tujuh tahun.
“Kemenangan beliau membawa harapan kepada politik alternatif yang menekankan penyelesaian manusiawi dalam dunia yang semakin dikuasai politik identiti dan kebencian,” kata Mujahid.

Mengulas dari perspektif Malaysia, Mujahid menyeru agar kemenangan Mamdani dijadikan iktibar untuk menilai semula budaya politik tempatan yang masih terperangkap dalam kerangka toksik berasaskan kaum dan agama.
“Malaysia perlu mengamalkan politik nilai berasaskan keadilan, rahmah dan kemanusiaan dalam menguruskan kepelbagaian, bukan politik yang membakar permusuhan antara kaum,” tegasnya.
Mujahid turut menegaskan bahawa walaupun kemenangan Mamdani hanya berlaku di New York, mesej yang dibawa beliau adalah sejagat — iaitu kebangkitan politik nilai menentang racun politik identiti yang semakin menghakis keharmonian masyarakat dunia.
“Tahniah dan syabas kepada Zohran Mamdani. Kemenangan beliau memberi sinar baharu kepada politik nilai yang diyakini akan menjadi pilihan rakyat seluruh dunia bagi menghadapi politik identiti sempit yang memecahbelahkan masyarakat,” katanya.