Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM5.7 juta melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) bagi inisiatif perumahan veteran tentera pada tahun ini.
Timbalan Menterinya Adly Zahari berkata peruntukan tersebut bagi membaik pulih 125 rumah dan 27 lagi rumah bagi kategori bina baru.
Beliau berkata untuk tahun ini sahaja 44 rumah veteran tentera yang dikategorikan sebagai uzur telah siap dibaiki, manakala bina baru belum dilaksanakan lagi.
“Kita lihat banyak rumah veteran uzur dan perlu dibaik pulih sesegera mungkin termasuk bocor serta struktur rumah rosak. Biasanya kita melihat veteran bukan kepada aspek pendapatan tetapi keseluruhan seperti kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan anak-anak serta bagaimana kita boleh memperkukuhkan mereka.
“JHEV sentiasa bekerjasama dengan JHEV negeri tentang bagaimana kita boleh perkukuhkan mereka dari pelbagai aspek,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi veteran tentera, Che Ahmad Mamat, 66, yang menderita penyakit usus bocor di rumahnya di Kampung Pulau Panjang di Pengkalan Chepa, di sini.
Terdahulu Adly turut melawat tujuh veteran tentera sempena Program Peduli Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PPV ATM), iaitu yang kedua selepas dijalankan di Melaka sebelum ini.
Mengulas lanjut, Adly berkata PPV ATM adalah inisiatif kementerian dan JHEV ATM dalam mengenal pasti serta menyantuni bekas tentera yang menghadapi kesusahan serta memerlukan bantuan.
“Veteran ini bukan semata-mata memerlukan bantuan, tetapi perhatian dan penghargaan sebagai bekas tentera kerana ia amat bermakna kepada mereka.
“Pihak kementerian juga melalui JHEV akan sentiasa mengadakan Majlis Hari Bertemu Veteran bagi mendengar sendiri luahan dan permasalahan veteran terutama golongan sasar iaitu B40,” katanya.