 
                KUALA LUMPUR, 24 Julai — Dewan Rakyat | Kementerian Pertahanan mengesahkan bahawa satu notis tuntutan denda lewat berjumlah RM162,754,365.95 telah dikeluarkan kepada syarikat pembekal 68 unit kenderaan perisai pada Januari lalu, susulan kelewatan penghantaran yang berlaku antara tahun 2020 hingga 2023.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, memaklumkan bahawa syarikat terbabit telah mengemukakan rayuan agar denda tersebut diketepikan, dengan alasan kelewatan berpunca daripada faktor luar jangka seperti pandemik COVID-19 dan konflik Rusia-Ukraine.
“Rayuan itu telah dibentangkan pada 6 Mei 2025. Walaupun mengambil kira keadaan memaksa yang dikemukakan, kementerian tetap mengenakan denda lewat berjumlah RM162 juta. Selain itu, bon pelaksanaan bernilai RM53 juta juga telah dikenakan, manakala baki nilai denda akan dituntut melalui pelunasan timbal balik dalam kontrak semasa atau kutipan berasingan,” katanya semasa penggulungan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 di Dewan Rakyat.
Laporan audit tersebut sebelum ini mendedahkan wujudnya kelemahan serius dalam aspek pengurusan perolehan dan pentadbiran kontrak berkaitan pembekalan kenderaan perisai kepada Tentera Darat Malaysia (TDM), yang melibatkan implikasi kewangan mencecah ratusan juta ringgit.
Menurut Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, antara penemuan utama adalah kegagalan kerajaan mengutip denda kelewatan bernilai RM162.75 juta daripada syarikat utama yang membekalkan kenderaan perisai 8×8 GEMPITA, walaupun kontrak telah tamat sejak Disember 2022.

Adly turut mengakui wujudnya kelemahan dalam penguatkuasaan terma kontrak terdahulu, dan memaklumkan bahawa pihak kementerian kini sedang membangunkan satu sistem pemantauan kontrak baharu bagi membantu pegawai memantau pelaksanaan dan pematuhan kontrak dengan lebih berkesan.
“Langkah ini bagi memastikan walaupun lanjutan masa diberikan, tindakan penguatkuasaan termasuk pengenaan denda tetap dilaksanakan tanpa perlu menunggu sehingga projek ditamatkan,” katanya lagi.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            