Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merupakan antara kementerian yang menjadi tumpuan dalam pembentangan Belanjawan 2024 memandangkan tekad Kerajaan Perpaduan dalam memperkasakan sektor agromakanan. Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPKM, menterinya Datuk Seri Mohamad bin Sabu menegaskan kenaikan peruntukan oleh Kerajaan Perpaduan kepada KPKM sebanyak RM6.17 bilion atau 14.4% merupakan bukti jelas keutamaan kerajaan dalam memacu sektor pertanian sebagai sektor yang mampan, berdaya saing dan berteknologi tinggi.
Melalui pembentangan di Dewan Rakyat pada Jumaat, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi HARAPAN berkata, kerajaan telah menggariskan beberapa inisiatif merangkumi peruntukan keseluruhan itu. Antaranya kerajaan telah menetapkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan matrik daripada sebelumnya hanya RM1,200 per tan matrik sahaja. Ia merupakan penyelarasan setelah kali terakhir dinaikkan pada tahun 2014. Manakala kerajaan akan memulakan projek rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh 2 tahun dibeberapa kawasan jelapang dengan pembinaan kemudahan infrastuktur lengkap melalui nilai pelaburan RM 3 bilion. Selain itu, kerajaan menambah peruntukan subsidi padi bukit dan padi huma daripada RM40 juta kepada RM50 juta bagi meluaskan kawasan penanaman padi bukit.
Bagi golongan nelayan pula, Presiden AMANAH itu menambah bahawa kerajaan bersedia mengekalkan harga subsidi diesel dengan kuota 840 juta liter setahun serta elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan. Kerajaan juga akan membantu membina baharu dan baik pulih rumah nelayan yang uzur dengan peruntukan sebanyak RM10 juta. Bagi sektor keterjaminan makanan pula, peruntukkan RM400 juta disediakan merangkumi kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan, melaksanakan kaedah baharu perolehan baja secara tender terbuka dan membekalkan 50 ribu pesawah dengan baja bio dan organik.
Akhirnya kerajaan juga menyediakan dana sehingga RM430 juta dibawah kemudahan pinjaman Agrobank bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran produk pertanian dan daya saing. Namun jika berlaku bencana, RM50 juta disediakan di bawah Tabung Bencana Pertanian dan RM50 juta lagi sebagai dana permulaan di bawah Skim Takaful Tanaman Padi. Mohamad yakin akan Belanjawan MADANI 2024 akan dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat. – SelangorToday