SelangorToday

KEMENTERIAN USAHAWAN SEDIA RM134.6 JUTA PERKASA PERUSAHAAN KECIl, MIKRO DAN SEDERHANA – RAMANAN

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya, SME Corp Malaysia memperuntukkan RM134.6 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pada tahun ini yang selaras komitmen untuk memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Ramanan Ramakrishnan, berkata menerusi program dan inisiatif yang dirancang tahun ini, kementerian terus komited dalam usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan negara sejajar dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).

Katanya, ia adalah sebahagian usaha bagi menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul serta kerangka Ekonomi MADANI sebagai wadah mengangkat semula martabat negara ini dengan menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.

“Komitmen ini juga mengambil kira Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) yang telah menetapkan sasaran yang jelas untuk pertumbuhan PMKS menjelang 2025, seperti sumbangan 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 15 peratus kepada eksport, 3.5 peratus dalam purata pertumbuhan produktiviti buruh dan 90 peratus PMKS mendigitalkan operasi perniagaan mereka,” katanya.

Beliau pada sesi taklimat sempena lawatan pertamanya ke Ibu Pejabat SME Corp di sini.

Sesi berkenaan bertujuan memberikan penerangan lanjut berkenaan peranan dan fungsi SME Corp sebagai Agensi Penyelaras Pusat (CCA) dalam pembangunan PMKS di Malaysia.

Melalui sesi berkenaan juga, Ramanan telah dimaklumkan mengenai inisiatif dan program pembangunan PMKS bagi tahun 2024 serta pencapaian sepanjang tahun 2023.

Secara keseluruhannya, SME Corp telah menyalurkan sejumlah RM131.3 juta dana yang dimanfaatkan oleh 22,861 PMKS di seluruh negara.

Exit mobile version