Keadaan yang berlaku di Palestin bukanlah semata-mata isu di negara Timur Tengah sahaja, lebih utama lagi ia merupakan satu perjuangan pembebasan rakyat Palestin yang dianiaya sejak bertahun lamanya. Naib Pengerusi AMANAH Selangor, Hj Shamsul Ma`arif bin Ismail berkata, ramai pihak masih kurang memahami tentang isu Palestin dan melihat ia isu yang tiada kaitan dengan Malaysia. Sedangkan jika melihat kepada sejarah lalu, ia merupakan rentetan peristiwa tanah air Palestin dirampas oleh penubuhan Negara Haram Israel pada tahun 1948. Peristiwa itu menyebabkan perang besar antara rakyat Palestin dan Regim Israel berterusan sehingga kini.
Dalam tuntutan agama pula, Hj Shamsul mengulas bahawa di Tanah Palestin, ia merupakan tanah para anbiya termasuk Nabi Ibrahim dan Nabi Ya`kub. Selain itu, Masjidil Aqsa sebagai tanah waqaf merupakan kiblat pertama orang Islam serta tempat Baginda Rasulullah SAW bermikraj ke langit untuk menerima wahyu adalah didalam negara Palestin. Oleh itu, Palestin merupakan negara tanah suci yang wajar dipertahankan oleh umat Islam. Malah, beliau yang mewakili AMANAH Selangor mengecam sekeras-kerasnya serangan hukuman menyeluruh(Collective Punishments) ke atas wilayah Gaza dana meneruskan matlamat regim untuk menghancurkan rakyat awam dan menghalau rakyat Gaza.
Sedangkan Gaza sudah dikenakan kepungan laut, darat dan udara serta pemboikotan ekonomi sejak tahun 2007 hinggalah sekarang serta tiada bekalan elektrik, makanan, minuman, air bersih, bekalan ubat-ubatan serta tempat berlindung. Maka kerajaan Haram Israel hendaklah memberhentikan serangan ketenteraan serta-merta, membuka kepungan dan membuka laluan untuk bantuan kemanusiaan dari Mesir khasnya dan dari seluruh dunia. Oleh itu, AMANAH Selangor menyeru pihak regim menghormati kemuliaan dan kesucian Masjid Al-Aqsa dan memberikan hak kepada rakyat Palestin. AMANAH Selangor juga menyokong sepenuhnya pendirian Kerajaan Perpaduan terhadap isu Palestin untuk merdeka sebagaimana disahkan oleh Resolusi PBB serta menggesa seluruh rakyat di Malaysia bersatu hati menyokong kemerdekaan Palestin. – SelangorToday