SelangorToday

KEMUDAHAN PPS DI SELANGOR AKAN DITELITI SEMULA – ANFAAL

Pusat pemindahan sementara (PPS) yang diwartakan di negeri ini perlu diteliti semula bagi memastikan ia selesa untuk kegunaan mangsa bencana, kata Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.

Beliau berkata, penelitian dirasakan perlu berikutan ada PPS yang terdiri daripada dewan komuniti atau bangunan sekolah berada dalam keadaan daif.

“Selepas bencana banjir di Merbau Sempak, Sungai Buloh sebelum ini, saya usulkan supaya PPS ini diteliti agar lebih selesa dan mesra orang kurang upaya (OKU).

“PPS perlu ada akses kepada warga emas dan OKU seperti tandas bagi mengelakkan mereka ke tandas yang terletak di aras lebih tinggi atau jauh.

“Kita mahu menyelamatkan mereka daripada bencana dan tempatkan di PPS, justeru premis itu perlu siap siaga. Walaupun tidak sempurna, kita tidak mahu ada insiden bumbung bocor dan sebagainya,” katanya bagi mengulas persediaan PPS di Selangor bagi menghadapi bencana luar jangka.

Terdahulu, Anfaal merasmikan Majlis Graduasi Independent Living Support Centre (ILSC) yang meraikan 29 graduan yang terdiri daripada individu OKU pembelajaran.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri mempertimbang untuk menambah kursus pengajian bagi program berkenaan berdasarkan keperluan industri.

Katanya, program latihan dan kemahiran itu akan diteliti berdasarkan tahap keupayaan golongan OKU yang mengikuti kursus berkenaan.

“Setakat ini terdapat empat program atau kursus iaitu bakeri, barista, teknologi maklumat dan hospitaliti yang ditawarkan di Rumah Amal Cheshire, Kementerian Belia Sukan (KBS) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN),” katanya. – Harian Metro

Exit mobile version