Kenaikan tarif air yang tidak terlalu tinggi akan memberi kesedaran kepada pengguna untuk menggunakan perkhidmatan air secara berhemah. Begitu dijelaskan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof apabila mengulas pengumuman Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara(SPAN) yang membenarkan semua pengelola perkhidmatan air diperingkat negeri untuk menaikkan tarif air. Tambah Azli, dengan adanya aktiviti perdagangan dan perkhidmatan, keperluan air sangatlah penting, oleh itu gaya pembaziran air perlu ditangani melalui pelbagai cara termasuk kenaikan tarif air yang sedikit tinggi tapi tidak membebankan. Azli juga menyeru pengguna untuk menggunakan cara lain termasuk menakung air hujan untuk kegunaan yang bukan melibatkan makan dan minum agar penjimatan penggunaan air berlaku.
Mengulas antara faktor kenaikan tarif air yang diumumkan beberapa hari lalu, Ketua AMANAH Kawasan Shah Alam itu berkata kenaikan tersebut terpaksa dilaksanakan pada masa ini memandangkan kos pengurusan dan operasi air di negara kita amatlah tinggi. Kenaikan tersebut hanyalah untuk menampung pembinaan loji air, penukaran paip usang dan penjanaan air boleh guna lebih banyak agar tidak berlaku pembaziran. Jelas Azli lagi, melihat kepada negeri seperti Kedah dan Kelantan yang menghadapi kehilangan air boleh guna yang banyak, disebabkan itu dana diperlukan untuk mengatasi masalah ini, maka kenaikan tarif ini merupakan salah satu solusi untuk menambah dana.
Sebagai rekod, Selangor akan menaikkan tarif air pada kadar 22 sen bagi setiap meter padu bermula 1 Februari ini selaras dengan kebenaran kerajaan untuk memastikan modal dan pelan perniagaan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. Amirudin selaku Menteri Besar Selangor memaklumkan kerajaan negeri akan mengambil langkah bagi mengurangkan beban rakyat negeri yang terkesan akibat kenaikan tersebut. – SelangorToday