SelangorToday

KENYATAAN MB KELANTAN TIDAK BERSUSILA, MENYINGGUNG PERASAAN PENGUNDI – DR. HAFIDZAH

ADUN Kota Lama, Kelantan Dr. Hafidzah Mustakim berkata, kenyataan Nassuruddin itu tidak menghormati dan bertentangan semangat federalisme serta sistem demokrasi negara.

“Kenyataan yang dinyatakan secara terbuka itu amat menyinggung perasaan, untuk saya sendiri mungkin siapalah saya dan biasalah kita dihina begitu rupa.

“Tetapi saya tidak rela pengundi kita, penyokong kita terasa tercabar dengan kenyataan yang tidak bertata susila yang lari dengan semangat perlembagaan.

“Terutamanya dinyatakan pemimpin tertinggi negeri ini yang sehari sebelumnya menyatakan akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan. Jadi ini amat bertentangan dengan semangat federalisme, tidak menghormati langsung bahawa dalam negara demokrasi ada pilihan rakyat untuk memilih kita.

“Bagaimana mana mungkin kami akan melaksanakan tanggungjawab sebagai penyemak-imbang dalam dewan undangan negeri (DUN) dengan keadaan ketua peringkat tertinggi (negeri) memandang kami dengan begitu serong.

“Kita doakan satu kesudahan yang baik, sesiapa boleh melakukan kesilapan dan yang terbaik adalah orang yang menyatakan maaf,” ujarnya.

Dr Hafidzah yang juga ketua wanita Amanah (Awan) Kelantan menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud sebagai ‘khurafat politik’.

Ini selepas Nassuruddin mendakwa Hafidzah (gambar judul) dan Adun Galas Syahbuddin Hashim sebagai “menentang perjuangan Islam”.

“Bagi saya ini adalah khurafat politik, penyelewengan besar yang perlu ditentang oleh rakyat akar umbi. Ini perlu diperbetulkan, saya nampak kalau masyarakat dan alim ulama diam membisu, seolah-olah kita boleh menerima perkara sedemikian dilakukan oleh pemimpin tertinggi.

“Saya bersetuju bahawa kita perlu mengambil tindakan tegas dan kita tidak boleh dipermain-mainkan.

“Walaupun kami berdua dianggap sinikal, tetapi kita mewakili rakyat untuk melaksanakan semak dan imbang,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Hafidzah dan Syahbuddin menuntut Nassuruddin membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari dan tindakan saman di mahkamah akan diambil sekiranya gagal berbuat demikian.

Exit mobile version