Site icon SelangorToday

KENYATAAN MEDIA EXCO AGAMA SELANGOR BIDAS DAKWAAN PAS

zawawi2

Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif semenjak 2019 untuk membangunkan Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor.

Usaha ini dilakukan berasaskan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang gusar terhadap peningkatan kejadian malang yang menimpa sekolah agama persendirian di Selangor, terutama selepas tragedi kebakaran yang melanda sebuah sekolah agama persendirian pada 2018 sehingga meragut 23 nyawa dan mencederakan lima murid.

Garis panduan yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil. 4/2020 pada 21 Disember 2020 dan mula dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2021.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan sebuah Jawatankuasa Taskforce ditubuhkan bagi membantu menyelaras proses pemutihan kesemua sekolah agama persendirian. Zawawi dilantik sebagai pengerusi jawatankusa tersebut.

Exco Hal Ehwal Agama, Mohd Zawawi Ahmad Mughni 

Jawatankuasa Taskforce bersetuju untuk memperuntuk masa selama dua tahun (1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022) kepada kesemua sekolah agama persendirian untuk memenuhi kesemua syarat yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor.

Namun 416 sekolah agama persendirian yang telah memulakan proses pemutihan memohon agar tempoh tersebut dilanjutkan. Jawatankuasa Taskforce mempertimbangkan permohonan tersebut dengan memperuntuk tambahan tempoh tiga tahun bagi program pemutihan untuk diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Jawatankuasa Taskforce juga memulakan langkah penambahbaikan garis panduan sedia ada untuk dipermudahkan melalui langkah tersebut maka hanya syarat minimum dikenakan kepada pengusaha sekolah agama persendirian bagi menyelesaikan proses pemutihan.

Kesemua usaha Kerajaan Negeri telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak sebagai cubaan untuk menghentikan usaha dakwah di Selangor, proses pemutihan yang sudah berlangsung sejak 2019 dianggap sebagai usaha untuk menutup sekolah agama persendirian.

Kerajaan Negeri turut berdukacita apabila tuduhan jahat dilemparkan kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sebagai dalang yang cuba menutup sekolah agama persendirian.

Tuduhan ini merupakan tohmahan tidak berasas sesetengah pihak yang cuba memburukkan usaha murni Kerajaan Negeri dalam mengangkat kualiti dan taraf sekolah agama persendirian.

Usaha murni yang dilakukan Kerajaan Negeri turut mendapat dokongan daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) yang dianggotai 478 institusi sekolah agama persendirian.

Usaha Kerajaan Negeri untuk mengangkat martabat sekolah agama persendirian diyakini memberi manfaat kepada pelajar dan ibu bapa di Selangor, insya- Allah.

Exit mobile version