 
                Ucapan Tahniah kepada YAB Perdana Menteri (PMX) dan Kerajaan Malaysia atas Kepengerusian ASEAN serta Saranan kepada Presiden Donald Trump Mengenai Gencatan Senjata Gaza
Kuala Lumpur, 28 Oktober 2025
Kami merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan Kerajaan Malaysia atas kejayaan cemerlang mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan prinsip moral yang tinggi.
Kejayaan Malaysia dalam menghimpunkan para pemimpin dunia, memperkukuh kerjasama serantau serta mengangkat isu kemanusiaan Gaza di pentas antarabangsa memperlihatkan kepimpinan berwibawa yang berpaksikan keadilan, keamanan dan nilai kemanusiaan sejagat.
Di bawah pimpinan PMX, ASEAN tampil bukan sahaja sebagai blok ekonomi yang berdaya saing, tetapi juga sebagai suara nurani kemanusiaan dunia.

Kami turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua anggota pasukan keselamatan, penjawat awam, dan seluruh rakyat Malaysia yang telah menunjukkan disiplin, dedikasi, dan semangat kerjasama tinggi dalam menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ini.
Kejayaan ini membuktikan perpaduan dan semangat nasional rakyat Malaysia dalam mendukung maruah negara di peringkat antarabangsa.
Dalam masa yang sama, kami juga mengalu-alukan penyertaan rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN, suatu langkah bersejarah yang membuka lembaran baharu ke arah keterangkuman, perpaduan, dan kemakmuran bersama di rantau Asia Tenggara.

Kami turut merakamkan ucapan tahniah kepada YAB PMX atas kejayaan menguruskan Perjanjian Damai antara Kerajaan Kemboja dan Thailand, yang menjadi bukti keupayaan Malaysia berperanan sebagai pengantara serantau yang adil dan berwibawa.
Inisiatif diplomatik ini menandakan satu kejayaan besar ASEAN dalam memupuk keamanan dan kestabilan serantau melalui kaedah dialog dan perdamaian, bukan konfrontasi.
Kami juga menyeru Presiden Donald Trump agar meneliti semula dan memperkukuh cadangan kerangka 20 perkara gencatan senjata Gaza, supaya ia benar-benar membawa keamanan yang adil, menyeluruh, dan berkekalan kepada rakyat Palestin.
Malaysia kekal berpendirian bahawa keamanan sejati tidak akan tercapai tanpa pengiktirafan terhadap pengiktirafan Negara Palestin yg merdeka, bermaruah, Keselamatan penuh, dan hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.
Dalam konteks hubungan antarabangsa semasa, kami mengambil maklum dan menghargai keprihatinan rakyat Malaysia terhadap Perjanjian Timbal Balas Perdagangan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat (Agreement Between the United States of America and Malaysia on Reciprocal Trade) yang telah ditandatangani baru-baru ini.

Sehubungan itu, kami menyeru agar penjelasan rasmi dan menyeluruh diberikan oleh pihak kerajaan bagi memperincikan kandungan, manfaat serta implikasi perjanjian tersebut terhadap ekonomi dan kepentingan strategik negara.Ketelusan dan komunikasi terbuka antara kerajaan dan rakyat amat penting bagi mengekalkan kepercayaan serta memperkukuh dasar diplomasi Malaysia di pentas global.
Akhir sekali, kami mengucapkan tahniah kepada Republik Filipina yang bakal mengambil alih kepengerusian ASEAN bagi tahun 2026.
Kami berdoa agar Filipina akan meneruskan legasi kepimpinan berprinsip, memperkukuh agenda kemanusiaan, dan mengekalkan kestabilan serantau.
Shamsul Ma’arif Ismail
Timbalan Pengerusi
Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah Nasional
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            