Exco Hal Ehwan Agama Islam Selangor, Yang Berhormat Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, ketetapan untuk menjadikan dos penggalak sebagai syarat untuk membolehkan umat Islam menunaikan solat di masjid dan surau adalah berdasarkan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui surat arahan dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 21 Februari yang lalu.
Tambah Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, kerajaan negeri mengambil maklum keluhan dan rungutan umat Islam di Selangor yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat pada Jumaat lalu berikutan belum menerima dos penggalak. Namun beliau menegaskan, ketetapan tersebut tanda keprihatinan baginda untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berikutan penularan wabak Omicron pula.
Beliau berkata, pendekatan menggalakkan rakyat Selangor mengambil dos penggalak adalah bertepatan dengan salah satu prinsip Maqasid Syariah iaitu ‘memelihara nyawa’. Akhirnya beliau menegaskan, kerajaan Selangor amat prihatin terhadap kesihatan dan kemakmuran rakyat serta sentiasa berusaha mengambil tindakan terbaik untuk mencapai maksud tersebut.