Site icon SelangorToday

Keputusan Mahkamah: Akmal Gesa UMNO Tarik Sokongan Terhadap Kerajaan

akmal saleh

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menggesa parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan susulan keputusan mahkamah yang menurutnya terus menimbulkan kekecewaan dalam kalangan rakyat dan akar umbi, khususnya orang Melayu.

Dalam satu kenyataan, beliau mempersoalkan keperluan UMNO untuk terus kekal menyokong kerajaan sedia ada dan mencadangkan parti itu mengambil pendirian tegas dengan menarik diri daripada kerajaan.

“Apa lagi yang perlu kita tunggu? Tarik sahaja sokongan daripada kerajaan ini. Lebih baik kita menjadi pembangkang yang bermaruah daripada terus dihina,” katanya.

Akmal turut menyeru perwakilan UMNO yang akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tidak lama lagi supaya bersatu dan berani menyuarakan pandangan rakyat serta suara akar umbi Melayu di peringkat tertinggi parti.

“Saya minta semua perwakilan yang akan datang ke PAU senada dan berani membawa suara rakyat dan akar umbi orang Melayu. Biar PAU kali ini digegarkan sebagai medan suara keramat orang Melayu,” katanya.

Beliau menegaskan perwakilan tidak seharusnya takut atau gentar dalam menyatakan pendirian parti, sambil menekankan PAU sebagai platform penting untuk menentukan hala tuju dan maruah UMNO.

Dalam kenyataan sama, Akmal turut mengkritik pemimpin DAP, Yeo Bee Yin, dengan menyifatkan penolakan terhadap parti itu di Sabah sebagai isyarat jelas sentimen rakyat di peringkat akar umbi.

“Jangan takut, jangan gentar,” tegasnya.

Exit mobile version