Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin menyeru pihak penganjur yang mengajurkan program-program melibatkan penyediaan makanan untuk lebih berhati-hati memilih makanan yang bakal disediakan termasuk premisnya. Kata Jamaliah melalui satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, orang ramai juga turut dinasihat untuk berwaspada serta memilih pengendali makanan yang baik. Sebelum memakan makanan yang tersedia, konsep lihat, hidu dan rasa wajib diamalkan bagi mengelakkan orang ramai memakan makanan yang telah basi atau rosak. Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan pihak pengendali makanan untuk bertanggungjawab terhadap makanan dan minuman yang disediakan dengan mengamalkan disiplin kebersihan yang tinggi bagi mengelakkan terjadi keracunan makanan.
Ahli Dewan Negeri(ADN) Bandar Utama itu juga berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Dato Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang sedang menyediakan bantuan buat kedua-dua keluarga mangsa korban keracunan makanan melalui Menteri Besar Incorporated(MBI). Sebelum itu melalui kenyataan sama, Jamaliah menjelaskan kejadian kes keracunan makanan yang berlaku di Sekolah Rendah Agama(SRA) Integrasi Sungai Chinchin pada 8 Jun 2024. Berdasarkan laporan tersebut, Program Kemahiran Amal Islami(KAMIL) Peringkat Daerah Gombak telah diadakan di sekolah tersebu. Keracunan makanan disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang dilaporkan telah berubah rupa dan rasa.
Kejadian tersebut mengakibatkan seramai 82 orang mangsa daripada 247 yang terdedah mengalami gelaja keracunan seperti cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya. Namun terdapat dua kes kematian akibat keracunan makanan melibatkan pelajar berusia 17 tahun dan seorang kanak-kanak berusia 1 tahun 7 bulan. Kedua-dua mereka telah memakan makanan tersebut setelah dibawa pulang oleh ibubapa mereka. Jamaliah menyampaikan salah takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan keluarga kuat dan tabah mengharungi dugaan. – SelangorToday